malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
PGSM: Perintah mahkamah sivil tak atasi mahkamah syariah
Diterbitkan:  Apr 17, 2014 8:34 AM
Dikemaskini: 11:16 AM
ADS

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) tidak bersetuju dengan cadangan supaya mahkamah sivil mendengar dan memutuskan tuntutan hak jagaan anak bagi seseorang yang telah memeluk Islam.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah memutuskan bahawa apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

"Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.

"Perkara 12 (4) Perlembagaan Persekutuan juga telah memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Dalam isu Deepa vs Izwan Abdullah, PGSM menegaskan bahawa polemik dan salah faham berlaku kerana Mahkamah Tiinggi (sivil) Seremban telah mengeluarkan perintah hak jagaan pada 7 April 2014 sedangkan Mahkamah Syariah Seremban telah pun mengeluarkan perintah yang sama pada tahun lepas lagi, iaitu pada 19 Mac 2013, dan perintah mahkamah syariah tersebut tidak pernah dibatalkan.

"Perintah mahkamah syariah tersebut memberikan hak jagaan kedua anak kepada bapa kandung mereka manakala ibu kandung diberikan hak lawatan pada bila-bila masa yang munasabah.

"PGSM menegaskan bahawa perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah sivil tidak melampaui atau mengatasi perintah yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah kerana Perkara 121 (1A) Perlembagaam Persekutuan telah meletakkan kedudukan mahkamah syariah setaraf dengan mahkamah sivil," tambahnya.

Musa berkata, PGSM berpandangan bahawa masalah itu berlaku kerana mahkamah sivil tetap mendengar dan memutuskan perkara yang sama walaupun telah ada satu keputusan dibuat di mahkamah syariah, menyebabkan adanya dua perintah berjalan serentak.

"Jika mahkamah sivil mengambil pendirian tidak masuk campur dengan perkara yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah tersebut, perkara ini tidak akan berlaku," tegasnya.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, katanya, PGSM menggesa supaya Ketua Hakim Negara dapat mengeluarkan Pekeliling kepada semua hakim mahkamah sivil agar tidak mendengar atau memutuskan apa-apa perkara yang telah pun diputuskan oleh mahkamah syariah.

"Dengan adanya arahan tersebut, masalah dan isu ini dapat diselesaikan," tambah Musa.