malaysiakini logo
story-image
ADS

Ahli parlimen Pakatan Rakyat hari ini mempamerkan poster dan notis anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha terakhir menghalang rang undang-undang GST 2014 yang diluluskan Dewan Rakyat hari ini.

Poster yang antaranya bertulis “Tolak GST” itu di angkat ketika pengundian blok selepas bacaan pertama dan kedua rang undang-undang tersebut dalam sidang parlimen.

Seramai 118 ahli parlimen menyokong GST dan 81 menentang setelah dua hari perdebatan pada peringkat pertama yang bermula Khamis lalu.

Seramai 119 ahli parlimen menyokong manakala 81 membantah pada bacaan kedua hari ini.

Tiada perdebatan pada peringkat jawatankuasa kerana ahli parlimen pembangkang tidak mahu sebarang pindaan tetapi mahukan seluruh rang undang-undang ditarik.

Rang undang-undang ini seterusnya perlu melalui Dewan Negara sebelum dapat diwartakan sebagai undang-undang kontroversi GST yang bakal dilaksanakan pada 1 April tahun depan.

Sebelum itu, barisan anggota parlimen dari Pakatan Rakyat bangun membantah rang undang-undang itu yang mahu diluluskan dengan segera.
 
Mereka mengibarkan poster yang menentang rang undang-undang diluluskan.
  
Ini termasuk menunjukkan poster antaranya "Tolak GST" dan "Selamatkan Rakyat" yang menimbulkan bantahan dan sorakan daripada kalangan wakil rakyat BN.
 
Antara yang membantah ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) yang melaung "Yang Dipertua, Mereka bawa plakad”.
 
Manakala kedengaran juga anggota parlimen BN yang menyatakan "Ini bukan demonstrasi jalanan, ini dewan" dan "cari publisiti murahan".

Bung: Macam tepi jalan

 
Kemudiannya, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun dan membaca peraturan mesyuarat perkara 20 berkaitan risalah yang dibawa ke dalam dewan.
 
"Adakah ia mendapat kebenaran ataupun tidak?" soalnya diringi sorakan anggota parlimen Pakatan. 
 
"Pembangkang buat macam di jalan raya Tan Sri. Menunjukkan pembangkang tiada disiplin, Tan Sri," katanya sambil menerima bantahan daripada ahli parlimen Pakatan Rakyat. 
 
Hal demikian juga Azmin Ali (PKR-Gombak) pula membalasnya dengan berkata: "Slogan pun (BN) nak takut, Tan Sri". 
 
Bagaimanapun Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menenangkan keadaan dan berkata:
 
 "Terima kasih Kinabatangan kerana membawa perkara ini ke pengetahuan saya.
 
"Sebenar mengikut peraturan kita, kalau membawa sepanduk seperti begitu dilaranglah. Tetapi apabila saya nampak tadi, benda yang dinaikkan itu, sebelah sana pun ambil gambar.
 
"Tidak ada bantahan pada ketika itu, maka saya terpaksa bersabarlah. Perkara itu telah berlalu. Jadi lain kali Gombak, bukan bermakna saya benarkan," katanya sambi diringi gelak ketawa dewan.

[Baca berita penuh]