Beberapa jam selepas mendakwa Pakatan Rakyat mampu mencari kehilangan pesawat MH370 sekiranya mempunyai sumber, MP Segambut Lim Lip Eng menarik balik kenyataan beliau itu.
"Saya mahu menarik balik kenyataan saya (iaitu): 'Ia cukup senang. Jadikan seorang pemimpin DAP sebagai komander tentera udara atau laut, kemudian kami akan mencari MH370'," kata Lim.
"Harap dapat menerima kekesalan saya yang mendalam kerana membuat komen tersebut."
Lim dipetik sebagai berkata demikian oleh Malaymail Online ketika sidang media pagi ini.
Ketika dihubungi, Lim berkata beliau membuat kenyataan itu atas kapasiti peribadi dan ia tiada kena mengena dengan partinya.
"Saya mengulas soalan yang ditanya tetapi saya menarik balik keseluruhannya dan kesal dengan perkara itu," katanya.