malaysiakini logo
story-image
ADS

Dewan Ulama PAS daripada dua negeri hari ini masing-masing mengadu kepada pihak polis dan penguatkuasa agama berhubung penganjuran seminar pemikir kontroversi Kassim Ahmad baru-baru ini.

Diiringi kira-kira 20 penyokong Pakatan Rakyat, Dewan Ulama PAS Johor membuat laporan di balai polis Sentral Johor Bahru pada pagi ini.

Manakala, Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan pula tampil membuat aduan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) awal petang ini.

Langkah itu diambil ekoran kenyataan Kassim yang dianggap menghina Islam dalam seminar pemikirannya di Yayasan Kepimpinan Perdana, di Putrajaya Ahad lalu.

Antara perkara yang menimbulkan kemarahan mereka berhubung kenyataan Kassim menyamakan sistem ulama dengan 'kasta paderi' serta kritikannya bahawa umat Islam mendewa-dewakan Nabi Muhammad melalui syahadah kedua.

Ketua Dewan Ulama PAS Johor Abdullah Husin juga kesal dengan tindakan penganjur mengadakan seminar itu sedangkan Kassim sudah pernah menimbulkan kontroversi 30 tahun lalu.

“Kita kesal buat seminar dan kita difahamkan mantan PM yang rasmikan,” katanya kepada Malaysiakini .

"Ini seolah-olah membawa makna menghidupkan pemikiran Kassim Ahmad yang menyesatkan.”

Seminar dua hari – Sabtu dan Ahad – itu dirasmikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga memaklumkan menganjurkan demontrasi di Masjid Bandar Baru UDA, Johor Bahru selepas solat Jumaat akan datang bagi mendesak tindakan terhadap Kassim.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan Azhar Yahya berkata, mereka membuat aduan supaya Kassim diambil tindakan bawah akta Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997.

Beliau mahu tindakan diambil bawah subseksyen 4(1), seksyen 8 dan seksyen 7 berkaitan doktrin palsu, mempersendakan al-Quran dan hadis serta menghina atau menyebabkan Islam dipandang hina.