malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Bekas pemimpin Arqam sokong tindakan JAIS
Diterbitkan:  Jan 10, 2014 12:44 PM
Dikemaskini: 5:14 AM
ADS

Bekas pemimpin kumpulan al-Arqam yang diharamkan Hatijah hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Persatuan Bible Malaysia (BSM) baru-baru ini.

Menurutnya, jabatan itu mempunyai kewajaran undang-undang bagi mempertahankan keagungan Allah, ekoran “kebiadaban” penganut Kristian di negara ini.

“Kita tahu kebiadaban penganut Kristian di negara mejoriti Islam Malaysia mempunyai agenda tersendiri.

“Agenda dakyah yang licik untuk mengelirukan umat Islam khususnya di Malaysia secara jangka pendek dan panjang,” dakwanya.

Dalam kenyataannya, Hatijah berkata, tiada sebab untuk penganut Kristian di negara ini menggunakan kalimah Allah dalam kitab suci mereka.

“Penganut Kristian sudah ada kalimah sendiri untuk Tuhan mereka! Gunakanlah apa yang telah lama mereka gunakan,” katanya yang juga Pengerusi Eksekutif GISB Holdings.

Beliau juga hari ini menyatakan kesangsian mereka terhadap pergerakan kumpulan Kristian yang menurutnya mempunyai agenda untuk “mengkristiankan”umat Islam di Selangor.

“Jadi JAIS telah menggunakan kuasa mereka untuk menyelamatkan Umat Islam daripada ditipu gereja! Sebab dunia tahu, Tuhan orang Kristian bukan Allah! Jadi bila Kristian tukar Tuhan itu kan penipuan!” katanya.

Balu kepada Ashaari Mohammad yang pernah ditahan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selepas dituduh terlibat dengan ajaran sesat itu juga menyeru umat Islam bersatu membela kalimah Allah dan memelihara akidah umat Islam.

“Bersatulah untuk membela Islam untuk membela Allah! Kristian itu musuh Islam! Kalau kita Umat Islam berpecah untunglah Kristian! Kristian akan gunakan peluang untuk membuat keuntungan besar!” katanya.

Hatijah yang pernah dikenali Ummu Jah pada 8 Novermber lalu dilapor mengetuai lafaz taubat nasuha bersama kira-kira 400 pengikutnya yang bertekad tidak lagi mengamalkan ajaran Aurad Muhammadiah.