Jarang-jarang berlaku, hari ini Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pemberian kad pengenalan terhadap warga asing di Sabah.
"Saya lihat laporan media, semuanya menyalahkan Dr Mahathir. Ini tidak betul.
"Sistemnya sudah beroperasi sejak sebelum beliau dan terus berlangsung selepas itu, Tetapi kita harus hentikannya," kata Anwar merujuk kepada apa yang dikatakan sebagai "Projek IC".
Anwar memberikan keterangan di hadapan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung pendatang asing Sabah di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
Bagaimanapun, tanpa menamakan bekas bosnya itu, Anwar yang berpakaian sut hitam dan kemeja putih, membidas Mahathir yang mendakwa tidak tahu tentang Projek IC.
Katanya, jika anda bercakap mengenai kira-kira 200 atau 5,000 orang (pendatang haram) yang datang ke sebuah bandar, maka beliau boleh menerimanya.
Tetapi, tegas Anwar, jika lebih 100,000 orang yang datang (ke Sabah) dan anda mengatakan tidak tahu, maka menurutnya, ia hanya menunjukkan yang anda benar-benar tidak cekap, tidak bertanggungjawab atau bersubahat dengannya.
Anwar menjelaskan bahawa mekanisme itu pada mulanya ditubuhkan semasa pentadbiran Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein untuk menangani kemasukan pelarian berikutan perang saudara di selatan Filipina pada tahun 1970-an.
Bagaimanapun, katanya, mekanisme tersebut yang disifatkannya sebagai satu pasukan petugas khas di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN), terus wujud selepas konflik tersebut dan telah disalahgunakan untuk memberi kerakyatan kepada warga asing.
Apabila disoal oleh pegawai pengendali Manoj Kurup sama ada pasukan petugas khas yang dirujuk oleh Anwar itu adalah orang yang sama yang ditubuhkan di bawah MSN pada tahun 1989 untuk menangani pendatang tanpa izin di Sabah, ketua pembangkang itu menafikannya.
Anwar menjelaskan bahawa beliau membuat rujukan khusus kepada (pasukan petugas) yang rahsia dan yang agak tidak teratur, di luar skop struktur yang sah yang boleh diterima oleh mana-mana masyarakat sivil atau kerajaan.
Anwar, yang merupakan bekas timbalan perdana menteri, berkata operasinya ketika itu tidak digambarkan sebagai 'Projek IC' tetapi secara umumnya dirujuk sebagai operasi oleh pasukan petugas tersebut.
Beliau berkata, kabinet itu tidak pernah dimaklumkan tentang perkara tersebut dan beliau pertama kali mendengar mengenainya melalui aduan daripada akar umbi di Sabah.
Anwar memakai kaca mata hitam ketika memberi keterangan sepanjang prosiding tersebut dan matanya kelihatan bengkak ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.
Ditanya mengenai matanya yang bengkak, Anwar menjawab ia disebabkan oleh alahan, dan menjangka ia akan pulih tidak lama lagi.
Anwar adalah saksi ke-210 yang memberi keterangan kepada RCI sejak ia bermula pada Januari tahun ini dan merupakan saksi tunggal yang memberi keterangan hari ini.
Mahathir memberi keterangan Rabu lepas.