malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KJ cadang kontrak sosial baru digubal perelokkan negara
ADS

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan supaya kontrak sosial baharu digubal untuk membolehkan rakyat Malaysia memperelokkan lagi negara ini.

Beliau berkata langkah tersebut juga membolehkan rakyat Malaysia membentuk semula asas kesatuan mereka dan lebih mencerminkan cabaran generasi hari ini.

"Sekarang, saya tidak menyokong pindaan perlembagaan tetapi untuk kita mengkaji semula dan menulis semula kontrak sosial kita," katanya Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian ketika menutup Forum Persatuan Suara Keamanan, Hati Nurani dan Kebolehan Menaakul (PCORE)-Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) 2013 bertajuk 'Perpaduan an Multikulturalisme: Membina Bersama Sebuah Masa Depan' di Institut Integriti di ibu negara semalam.

Mengulas lanjut mengenai cadangan itu, Khairy kemudian memberitahu pemberita bahawa semasa kontrak sosial digubal pada tahun 50-an, sudah ada persefahaman antara kaum Melayu, Cina dan India, namun persefahaman itu sudah berbeza pada masa kini.

"Saya cadangkan supaya kita melihat semula kepada kontrak sosial, bukan dari segi kita nak buang apa yang ada, tetapi kita cari persefahaman yang baharu sebab kita lihat kita terlalu banyak isu, isu sensitif, isu melibatkan agama, melibatkan kaum yang menimbulkan banyak masalah," katanya.

Beliau berkata satu majlis rundingan melibatkan semua bangsa perlu diadakan bagi membincangkan usaha untuk memperbaharui semangat kontrak sosial tersebut.

"Bukan saya katakan lupakan yang lama, tetapi kita perlu ada satu komitmen baharu. Macam mana kita nak meningkatkan lagi perpaduan, macam mana kita boleh buat perubahan yang radikal pada sistem pendidikan untuk memupuk integrasi dan perpaduan," katanya.

Terma kontrak sosial sedia ada merupakan hasil daripada kompromi etnik Melayu, Cina dan India mengenai hak bersama dan masing-masing, kedudukan istimewa dan persetujuan antara Raja-raja Melayu dengan British bagi mewujudkan suatu kerajaan dengan sistem demokrasi, beraja, bersekutu serta tidak teokratik.

Semasa berucap, Khairy berkata majlis perundingan melibatkan semua pihak berkepentingan yang penting untuk membentuk asas perjanjian baharu.

"Parti politik akan dijemput tetapi mereka tidak akan menjadi tumpuan kontrak sosial, tidak seperti sebelum Merdeka. Jika majlis perundingan boleh mencapai kata sepakat mengenai pendidikan, misalnya, maka perjanjian itu akan dikemukakan kepada rakyat untuk pengesahan.

"Pungutan suara ini bagi majoriti setiap komuniti etnik yang bersetuju iaitu sesuatu yang boleh mencegah kezaliman majoriti dan menjamin kepentingan minoriti," katanya.

-Bernama