malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan cadang pasang EMD pada penjenayah SOSMA bulan depan
Diterbitkan:  Aug 24, 2013 10:04 PM
Dikemaskini: Aug 25, 2013 2:07 AM
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) bercadang menggunakan peranti pengawasan elektronik (EMD) ke atas penjenayah tertentu yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada akhir bulan depan.

    

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengesahkan bahawa kerajaan telah meluluskan pemasangan EMD bagi mengesan suspek jenayah terancang dan kejam bagi memastikan mereka tidak melakukan jenayah lain semasa dalam jaminan.

    

"Bagi saya, adalah lebih baik jika EMD ini dapat dilaksanakan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas di Forum Pencegahan Jenayah di Petaling Ja;ya hari ini.

    

Abdul Gani mengulas komen penganalisis kanan Unit Pelaksanaan dan Pengurusan Prestasi (Pemandu), Farah Intan Burhanudin, bahawa peranti itu akan digunakan terhadap suspek yang ditahan dalam Ops Cantas.

    

Dalam forum itu, Farah Intan berkata peranti tersebut, yang digunakan di banyak negara termasuk Amerika Syarikat sejak 1994, akan mengurangkan risiko pesalah berulang dan memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan polis secara berkesan.

"Peranti itu juga kos efektif dan mendorong kepada pengurangan masalah kesesakan dalam penjara," katanya ketika membentangkan inisiatif semasa dan masa depan Pemandu dalam membendung jenayah.

    

Dalam ucapannya, Abdul Gani berkata Malaysia tidak memerlukan undang-undang pencegahan bagi membendung jenayah serius kerana negara mempunyai pasukan polis yang bagus untuk menangani jenayah dengan berkesan dan cekap.

    

"Saya mempunyai kepercayaan penuh terhadap polis untuk melakukan tugas tanpa memerlukan undang-undang pencegahan. Ini terbukti apabila mereka (polis) membuktikan kemampuan mengendalikan jenayah sejak beberapa minggu lepas.

    

"Oleh itu, saya mendapati sukar untuk alasan secara rasional sebab-sebab mengapa kita perlu memperkenalkan semula undang-undang seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO)," katanya.

    

Walaupun undang-undang pencegahan baru akan dibentangkan di sesi Parlimen akan datang, Abdul Gani berkata Jabatan Peguam Negara akan mengkaji semua sebarang pindaan dan input daripada pelbagai pihak.

    

Beliau berkata jika negara benar-benar memerlukan undang-undang pencegahan bagi membanteras jenayah berat maka satu kajian menyeluruh dan cadangan terhadap undang-undang ini perlu dipertimbangkan secara teliti.

    

Memetik kes penjenayah kejam Botak Chin pada tahun 70-an, Abdul Gani berkata Peguam Negara ketika itu berjaya menyelesaikan kes itu dan mensabitkan hukuman ke atas penjenayah itu tanpa menggunakan undang-undang pencegahan (ISA atau EO) tetapi hanya menguna pakai undang-undang biasa.

    

Ditanya pendirian beliau memperkenalkan semula EO, beliau berkata: "Pendirian saya tetap sama."

    

Sebelum ini,  beliau menegaskan undang-undang yang sedia ada sudah memadai untuk menangani penjenayah, sambil menjelaskan "adalah lebih baik lebih ramai yang bersalah dibebaskan daripada menghantar orang yang tidak berdosa ke penjara".

    

Mengulas keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada sabitan dan hukuman gantung kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaaribuu, Abdul Gani berkata:

    

"Saya sudah membuat kenyataan bahawa saya akan memfailkan rayuan. Saya sedang menunggu alasan penghakiman dan akan menyusul dari situ.

    

"Saya sudah memberi arahan hari ini... kerana hari ini adalah hari Sabtu. Semalam keputusan mahkamah. Saya mempunyai masa 10 hari untuk memfailkan rayuan. Rayuan tetap akan dilakukan. Tiada isu mengenai perkara itu," katanya.

- Bernama