malaysiakini logo
story-image
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan "tidak pernah kacau orang Syiah" walaupun dua individu dituduh di Mahkamah Rendah Syariah Taiping hari ini kerana didakwa memiliki bahan bertulis berkaitan mazhab itu.

"Kita tidak pernah kacau orang Syiah. Tetapi di Malaysia, orang Malaysia yang sudah beragama Islam, tidak boleh dikembangkan ajaran (Syiah) itu. Ada kesalahan di mahkamah sivil," katanya dalam sidang medianya petang ini.

Beliau menjawab soalan pemberita berhubung kandungan dalam Deklarasi Aman yang mengiktiraf penganut Syiah sedangkan tindakan keras terhadap pengikut mazhab itu kini diambil.

Deklarasi yang turut disokong beberapa pemimpin Malaysia, termasuk mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2005 antara lain mengiktiraf seseorang yang mengamalkan salah satu daripada empat mazhab Sunni (Hanafi, Maliki, Shafie dan Hanbali) serta dua aliran fikah Syiah (Ja'fari dan Zaydi).

Ia yang juga dikenali 'Mesej Amman' itu juga menyatakan tidak mungkin dan dibenarkan mengisytiharkan individu itu sebagai murtad dan tidak dibenarkan mencabuli darah, maruah dan hartanya.

"(Yang menjadi) kesalahan adalah mengembangkan ajaran agama kepada orang Islam di Malaysia. Maknanya tidak boleh mengembangkan kepada orang yang sudah beragama Islam.

"Semacam kita di Malaysia, yang mengamalkan (mazhab) Ahli Sunnah Wan Jamaah, (maka) tidak boleh orang lain cuba mengembangkan agama dia pula. Itu menjadi kesalahan.

"Yang tidak salahnya pula, kamu nak amal ajaran (agama atau mazhab) kamu, tidak menjadi kesalahan. Jadi maknanya di Malaysia, orang ramai macam-macam datang. Dia nak amal ajaran agama dia," katanya.

Mahu fokus isu Tabung Haji

Jamil bagaimanapun enggan menjelaskan lanjut mengenai perkara itu sebaliknya mahu memfokuskan soalan yang berkaitan Lembaga Urusan dan Tabung Haji.

Sebelum itu, seorang wartawan cuba menunjukkan salinan deklarasi kepada beliau ahli parlimen Jerai tetapi beliau mengelak untuk menerimanya.

"Tidak, tidak... Duduk dulu, tak payah tunjuk.

"Saya nak fokus (tentang) Tabung Haji, kalau tidak, jadi cerita lain," katanya selepas merasmikan Pameran "Al-Hajj: Pengalaman Malaysia" di Muzium Kesenian Islam di ibu negara petang ini.

Isu berkaitan mazhab Syiah timbul bermula dengan langkah kerajaan Kedah yang mahu mewartakan fatwa anti-Syiah bagi membanteras fahaman itu yang didakwa semakin menular di kalangan masyarakat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!