malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Felda cadang saman pembangkang jika terus tabur fitnah'
ADS

Felda bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap pembangkang jika terus-menerus menabur fitnah terhadap agensi itu, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan.

Ahmad yang juga ketua penerangan Umno berkata sudah tiba masa bagi Felda dan sekutunya bangkit menangkis 'longgokan' fitnah berniat jahat pembangkang yang disiarkan di akhbar dan media maya pembangkang selama ini.

    

"Semakin dibiarkan, semakin hebat tuduhan dan fitnah dibuat mereka termasuk mendakwa 400 juta unit atau 12 peratus saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dimiliki Genting Bhd sekaligus mendakwa sumbernya haram serta mendakwa penyenaraian Felda dan FGV membawa kerugian sehingga RM2 bilion," katanya dalam sidang media 'Menjawab Isu-Isu Fitnah Pembangkang Tentang Felda" di ibunegara hari ini.

    

Sidang media itu turut disertai Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Anuar Abd Manap; Pengarah Besar Felda Faizoull Ahmad; Timbalan Pengerusi Gagasan Wawasan Generasi Felda Datuk Abdullah Ahmad dan Presiden Alumni Asrama Felda Abd Malek Jalil.

    

Ahmad berkata setakat ini, Felda telah memfailkan saman terhadap beberapa akhbar pembangkang yang mengeluarkan kenyataan bahawa agensi itu bankrap dan tidak akan membiarkan pembangkang terlepas dengan fitnah terbaru mereka itu

.

Beliau berkata sehingga kini, pemegang saham tawaran umum melebihi lima peratus masih dipegang Tabung Amanah Peneroka Felda iaitu sebanyak 20 peratus, Felda Asset Holdings Company Sdn Bhd (17), Lembaga Tabung Haji (7.78) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 7.49 peratus.

"Tiada sebarang milikan saham Genting Bhd seperti didakwa dan penyenaraian juga tidak membawa sebarang kerugian malahan ia memberi perolehan dana sebanyak RM9.9 bilion kepada Felda dan FGV, manakala kejatuhan saham bukan hanya dialami FGV tetapi semua kaunter melibatkan perladangan sawit berikutan kejatuhan harga komoditi itu di pasaran dunia," katanya.

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa pengisytiharan dividen interim sebagai melanggar prosedur, Ahmad berkata mengisytiharkan dividen itu sepanjang mana-mana tahun kewangan atau sebelum akhir mana-mana tahun kewangan adalah dibenarkan Bursa Malaysia.

    

"Tiada sekatan dikenakan ke atas syarikat yang baru disenaraikan untuk mengisytiharkan dividen interim. Dalam kes FGV, pengisytiharan dividen interim 2012 yang meliputi tarikh pembayaran, kelayakan dan lain-lain tarikh telah dibuat dengan peraturan semasa Bursa Malaysia," katanya.

    

Sementara itu, Ahmad turut menafikan dakwaan laporan kewangan interim tidak diaudit kerana tidak ada keperluan syarat untuk 'unjuran keuntungan 2012' kerana syarikat tersenarai lain juga tidak memberikan apa-apa unjuran.

    

"Dakwaan pembangkang bahawa KWSP sebagai penyelamat kerugian saham Felda juga merupakan fitnah kerana semasa penyenaraian, KWSP yang memegang 184.7 juta unit saham FGV yang dianggap kecil berbanding jumlah keseluruhan saham syarikat sebanyak 3.6 bilion unit. Maka KWSP meminta menambah pelaburannya selepas penyenaraian," katanya.

    

- Bernama