malaysiakini logo
story-image
ADS

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata mantan timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa bersikap seperti ejen Umno apabila mengambil pendirian yang berubah-ubah dalam isu pelaksanaan hukum hudud.

Sedangkan, Nasha tidak ada masalah dengan pendirian DAP tentang hudud sewaktu beliau memegang timbalan presiden PAS, kata Lim.

NONE "Sewaktu beliau jadi timbalan presiden PAS, tiada masalah (dengan DAP). Sekarang bila sudah tak jadi timbalan presiden PAS macam ejen Umno, cakap lain pula.

"Mengapa sekarang (bila) tak jadi presiden PAS timbul masalah?," kata Lim ketika ditemui pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Lim seterusnya mencabar Nasharuddin agar mendapatkan penjelasan dari Umno berhubung pendirian mereka tentang pelaksanaan hukum hudud.

"Mungkin beliau harus tanya soalan ini kepada Umno, apa pendirian mereka tentang hudud?," kata MB Bagan itu.

Nasharuddin dalam sidang medianya pagi tadi menggesa Guan Eng memohon maaf kerana didakwa mengeluarkan kenyataan bahawa DAP menolak hudud.

MP Bachok itu menimbulkan gesaan tersebut berdasarkan satu laporan Utusan Malaysia hari ini yang memetik kenyataan Lim bahawa hudud bukan sebahagian daripada dasar bersama Pakatan Rakyat.

NONE Nasharuddin gagal mengekalkan jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PAS yang lalu.

Jawatan itu kini disandang Mohamad Sabu sementara seorang lagi calon, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai ketua penerangan PAS.

Nasharuddin kemudiannya dilihat mesra dengan Umno dan sering mengeluarkan kenyataan yang mengkritik DAP kerana menolak pelaksanaan hudud.

Malah, beliau turut membuat kenyataan melalui stesen TV3 supaya PAS meninggalkan Pakatan Rakyat kerana pengerusi DAP Karpal Singh berkeras menolak pelaksanaan hudud.

Kenyataannya itu menyebabkan beliau dirujuk beberapa kali ke mesyuarat pimpinan tertinggi PAS, namun presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat terakhir majlis syura ulama parti itu pada awal bulan ini mengumumkan bahawa Nasharuddin kekal dalam parti itu.