Kedutaan M'sia sedia bantu keluarga dua lelaki ditahan KPK
10:48AM Jun 16 2012
Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bersedia untuk membantu pihak keluarga dua lelaki Malaysia yang kini ditahan oleh Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah Indonesia (KPK) di Jakarta, dalam urusan mendapatkan khidmat peguam dan mengaturkan pertemuan dengan tahanan itu.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afdzaruddin Syed Hassan berkata semalam pihak KPK memberi jaminan akan bekerjasama sepenuhnya untuk memberi akses konsular kepada para pegawai kedutaan itu untuk bertemu kedua-dua tahanan itu apabila tiba masanya.
Syed Munshe Afdzaruddin berkata beliau telah meminta pegawai perhubungan polis, PDRM di kedutaan besar itu, menghubungi dan memaklumkan kepada para anggota keluarga tahanan itu mengenai status penahanan mereka.
KPK pada masa ini menempatkan seorang daripada lelaki itu di sel tahanan Polis Metrojaya, di Jakarta Pusat, manakala seorang lagi di sel tahanan polis Jakarta Timur.
Adalah difahamkan bahawa seorang daripada lelaki Malaysia itu tinggal di Seksyen 19, Shah Alam, Selangor manakala seorang lagi di Pangsapuri Bangsar Utama, Kuala Lumpur.
Semalam, KPK menetapkan kedua-dua lelaki itu sebagai suspek dengan tuduhan mengikut Fasal 21 Undang-undang Jenayah Rasuah Indonesia, yang lebih dikenali di Indonesia dengan nama singkatan Tipikor, kerana menghalang siasatan kes rasuah terhadap suspek Neneng Sri Wahyuni, yang diburu oleh KPK sejak 2011.
Kedua-dua lelaki itu ditangkap oleh KPK di dua lokasi di Jakarta pada Rabu, seorang daripadanya di sebuah hotel dan seorang lagi ketika sedang menuju ke sebuah penjara di sini di mana suami Neneng, Muhammad Nazaruddin, sedang menjalani hukuman.
Neneng pula ditangkap di rumahnya di Pejaten, Jakarta Selatan sebaik tiba dengan sebuah teksi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta di Jakarta pada hari yang sama.
Kedua-dua lelaki Malaysia itu disyaki membantu Neneng melarikan dirinya dan tinggal di Malaysia untuk mengelak daripada menghadapi proses undang-undang Indonesia.
Timbalan Ketua KPK Bambang Widjojanto dalam sidang akhbarnya di Jakarta pada Rabu berkata sebelum penangkapan dibuat, KPK mendapat maklumat bahawa Neneng akan berlepas dari Kuala Lumpur pada Selasa malam dan bermalam di Batam, Indonesia, sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Jakarta dengan menaiki pesawat.
Muhammad Nazaruddin, yang juga bekas bendahari Parti Demokrat ditahan di Colombia pada Ogos tahun lepas dan dibawa ke sini atas dakwaan rasuah.
Pasangan suami isteri itu disyaki terbabit dalam skandal rasuah berprofil tinggi melibatkan jutaan ringgit dalam projek Janakuasa Elektrik Tenaga Suria (PLTS) di bawah Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi antara 2008 dan Ogos 2011.