malaysiakini logo
story-image
ADS

Hikayat salah satu bidang kesusasteraan Melayu silam. Cerita-cerita hikayat biasanya berbentuk panjang dan menceritakan mengenai seseorang atau kejadian yang penting.

 

Pada kebiasaannya cerita hikayat adalah warisan dari penceritaan secara lisan, dengan itu ia mengekalkan format penceritaan lisan. Kebanyakan cerita hikayat ditulis dalam bentuk di mana, pembaca akan membacanya secara kuat untuk didengari oleh pendengar.

 

azlan Antara peristiwa yang membaca kepada pembacaan hikayat ini adalah apabila berlakunya peperangan. Hikayat-hikayat mengenai kegagahan dan keperwiraan pahlawan Melayu silam dibacakan dengan lantang bagi diperdengarkan kepada para hulubalang bagi menaikkan semangat juang mereka. Antara yang menjadi kebiasaan bagi dibaca adalah Hikayat Amir Hamzah.

 

Namun hikayat-hikayat ini kerana kuat pengaruhnya dengan budaya dan kepercayaan Hindu-Buddha yang terlebih dahulu bertapak di kepulauan Nusantara turut mempengaruhi bentuk dan simbol-simbol dalam penulisan/ penceritaan hikayat selepas kedatangan Islam.

 

Antara contoh yang paling ketara adalah, semasa Hindu-Buddha menjadi agama umum di Nusantara kebanyakan hikayat adalah berkisarkan kepada kesaktian dan kejaiban kuasa para dewa dan dewi. Ia juga menggagaskan konsep raja sebagai dewa di bumi atau anak kepada dewa itu sendiri.

 

Apabila Islam datang, para pendakwah Islam termasuk para Wali Songo menggunakan cara yang berhikmah dalam mengambil hati masyarakat Nusantara. Antara cara yang digunakan dengan mengasimilasikan dakwah Islam dengan adat, budaya dan kesenian termasuk sastera yang sedia ada.

 

Justeru, tidak hairan konsep yang hampir sama dengan gagasan raja sebagai wakil dewa atau anak dewa kemudian menjadi sultan adalah bayangan Allah di muka bumi (zhilu-Allah fil ard). Konsep ini disandarkan pula kepada sebuah hadis yang dikaitkan kepada Rasulullah sedangkan pakar hadis kemudiannya menilai hadis tersebut sebagai sangat lemah (daif jiddan).

 

NONE Prof Madya Dr Asri Zainul Abidin dalam artikelnya bertajuk “Bilakah Sultan Menjadi Bayangan Allah di Bumi” menjelaskan:

 

“Sebenarnya hadis tersebut mempunyai banyak riwayat. Ada yang palsu, ada yang sangat daif (daif jiddan), ada yang daif dan ada yang hasan ataupun mungkin boleh mendekati sahih. Antara lafaz yang palsu atau sekurang-kurang teramat daif:

 

“al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika mereka berbuat baik bagi mereka pahala dan wajib ke atas kamu syukur. Jika mereka jahat, mereka mendapat dosa, wajib ke atas kamu sabar. Janganlah kejahatannya itu menyebabkan kamu keluar dari ketaatan. Ini kerana, sesungguhnya kehinaan dalam mentaati Allah (dengan mentaati sultan yang jahat) lebih baik dari kekal dalam neraka (kerana menentang sultan). Jika tidak kerana mereka, manusia tidak akan aman.” (hadis ini dihukum oleh al-Albani sebagai ‘terlalu daif’ dalam Silsilah al-Daifah, no. 1664)

 

Namun secara kesimpulan penilaian hadis, setakat lafaz “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” adalah sahih disebabkan pelbagai riwayat. Adapun tambahan selepas lafaz tersebut ada yang hasan, daif, sangat daif dan palsu.

 

Ada juga riwayat dalam al-Jami’ al-Saghir oleh al-Sayuti (meninggal 911H) yang menyebut:

 

“al-Sultan bayangan Allah di bumi. Jika seseorang kamu memasuki sesuatu negeri yang tiada sultan padanya, janganlah dia tinggal dalamnya”.

 

Abdullah Munsyi dan kritikannya

 

Kemunculan Abdullah bin Abdul Kadir, seorang peranakan Keling dan berketurunan Arab yang fasih membaca dan menulis dalam bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Cina dan bahasa Hindustan membuka lembaran baru dalam dunia penulisan dan persuratan di Nusantara.

 

Ini kerana, hikayat yang ditulis beliau merupakan suatu rakaman pengamalan sebenar kehidupan sosial pada zamannya. Malah banyak peristiwa besar dan sikap sosial terakam dalam hikayat tersebut sekali gus mencarikkan adat kebiasaan sebuah hikayat yang penuh dengan fantasi kesaktian dan legenda ketokohan individu.

 

Jenis penulisan beliau ini pada hari ini popular sebagai memoir atau autobiografi. Hikayat Abdullah siap dikarang 1845 dan diterbitkan buat pertama kali pada tahun 1849.

Namun apa yang paling ketara dalam autobiografi ini adalah, sikap Abdullah dan kritikan tajam beliau terhadap suasana sosial pada zaman itu, hasil daripada pemikiran dan ketajaman akal yang mendahului zaman hasil didikan secara paksa rela oleh ayahnya sendiri.

 

Tidak benar jika dikatakan beliau hanya mengkritik bangsa Melayu kerana jika sesiapa membaca keseluruhan hikayat tersebut, pasti jelas bahawa orang Inggeris, Amerika, Cina, India, Jerman, Belanda, pendek kata apa yang dilalui dan dijumpai serta dilihat sendiri oleh beliau di Melaka dan Singapura, tidak terlepas daripada kritikan dan komentar jujur Abdullah.

 

Namun yang paling ketara adalah, kritikan Abdullah kepada raja-raja Melayu sepanjang hikayat tersebut. Digambarkan bagaimana Sultan Hussein Syah yang tertipu kepada helah Inggeris kerana mahukan sejumlah wang sebagai habuan dan gaji bulanan bersama temenggung.

 

Begitu juga beliau sangat kritikal kepada sikap sultan dan kaum kerabatnya, seperti sultanah yang membunuh dan menyeksa dengan sewenang-wenangnya hamba abdi perempuan yang ada rupa kerana cemburu. Ini kerana risau dijadikan oleh Sultan Hussain Syah sebagai gundik.

 

Lebih jelas lagi apabila Abdullah mengungkapkan sikap raja-raja Melayu dan kerabatnya dengan katanya:

 

“Setelah Sultan Mahmud mangkat, entah dari mana datangnya, dalam dua tiga hari singgahlah dua tiga orang anak raja di Padang. Setelah sampai di pantai, disuruhnya orang membawa tombaknya ke darat untuk meminta beras, ayam, dan barang-barang lain yang dikehendakinya. Kasihan orang Padang kerana kebodohannya. Apabila mereka nama raja atau anak raja, dihormatinya seperti Allah.

 

“Dengan gementar tulangnya, mereka serahkan sebarang kehendaknya tanpa bayaran. Sepuluh lima belas hari kemudian, datang pula empat lima anak-anak raja. Mereka pun meminta juga. Ada yang naik sendiri ke darat. Barang yang ditemuinya diambil seperti barang sendiri. Mereka seperti penyamun.

"Tuan punya harta hanya terkelip-kelip matanya, bodoh sebab takut pada nama anak raja. Diam sahaja. Anak raja yang tidak tahu malu dan takut kepada Allah dan makhluk kerana makan barang haram, berbuat sesuka hatinya.

 

“Ada pula kelakuan seperti binatang, mengejar dan memperkosa anak-anak perempuan. Setelah itu mereka belayar. Kemudian datang pula yang lain. Kehendak mereka tidak boleh dilawan. Jika dilawan, akan dibunuh dan rumah dibakar. Pokok-pokok kelapa mereka habis ditebang untuk umbutnya. Demikianlah mereka membinasakan hamba Allah dengan zalim dan aniaya.

 

“Mereka meninggalkan kampung halaman dan sawah ladang yang porak-parik, membawa diri ke tempat lain. Ada yang menjadi hamba orang, beribu-ribu orang, bertaburan sepanjang tempat. Kampung-kampung itu tinggal menjadi hutan rimba tempat gajah dan harimau sekarang ini. Tidakkah mereka sedar segala kezaliman dan aniaya mereka itu akan dibalas oleh Allah?

 

“Ada satu lagi perkara pelik kedengaran. Ada raja yang membuat satu adat, bukannya adat orang Islam atau adat bangsa-bangsa lain di dunia, melainkan adat Iblis ataupun adat hawa nafsu yang jahat. Raja-raja itu mengambil anak-anak dara orang kebanyakan untuk dijadikan gundik dengan paksa, tiada reda perempuan itu, apalagi ibu bapanya.

 

“Dengan paksa perempuan itu dibawa ke rumahnya. Dipanggilnya khatib atau lebai-lebai yang bebal dalam hukum agama Islam dan tamakkan upah. Disuruh oleh raja nikahkan perempuan itu dengan keris raja. Adakah nikah itu sah?

"Oleh sebab itu, banyaklah lahir anak haram. Kelakuan raja-raja itu seperti iblis yang tidak takutkan Allah dan rasul, dan tiada malu kepada makhluk. Tidakkan patut perbuatan zalim dan aniaya itu dibalas oleh Allah dengan bala-Nya? (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 330-338)

 

Selain daripada itu, Hikayat Abdullah ditutup dengan suatu nasihat dan pandangan yang agak radikal kepada para raja Melayu pada zaman tersebut dan sebelumnya. Justeru tidak hairan mengapa sesetengah cendekiawan Melayu (baca: bangsawan) rasa tidak selesa malah melabelkan beliau dengan pelbagai label termasuk Abdullah Paderi dan sebagainya. (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 382-391)

 

Perihal beliau banyak bekerja dan memuji orang putih (namun tetap dikritik kerana kesombongan/ rasa sudah pandai dalam mempelajari bahasa Melayu) malah sehingga ditugaskan menyalin dan membaik pulih terjemahan Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi, apakah ia menyalahi hukum agama, masih boleh diperdebatkan.

 

Namun hakikatnya, jasa Abdullah Munsyi kepada korpus kesusasteraan dan persuratan termasuk kewartawanan Melayu adalah sangat besar. Tidak adil jika dinafikan segala sumbangan dan jasa beliau dalam merekod peristiwa zaman dengan begitu cermat dan terperinci serta telus.

 

Sepanjang membaca Hikayat Abdullah, beliau tidak lekang melafazkan doa dan bertasbih, kadang-kadang mengungkap kata-kata tazkirah dan tazkiatun nafs yang memperlihatkan betapa beliau adalah seorang Muslim yang mempunyai latar belakang pendidikan agama yang kuat selain berpegang teguh dengannya.

 

Tidak wajar kita menghukum beliau sehingga kepada murtad kerana beliau sangat propenjajah malah banyak membantu penjajah dalam membuat gerak kerja serta mengajar bahasa Melayu. Ini kerana keimanan adalah perihal hati nurani dan hanya Allah yang tidak mempunyai hati yang layak menilai keimanan seseorang, bukan sesama manusia yang juga mempunyai hati nurani dalam dadanya yang juga akan dinilai oleh Allah.

 

Renungi pula kata-kata nasihat beliau mengenai kepentingan membaca hikayat-hikayat klasik Melayu:

 

“Ketika itu aku suka membaca hikayat-hikayat kerana banyak faedah kuperoleh daripadanya. Di situlah aku menemui rahsia-rahsia bahasa Melayu. Kalau aku dengar ada orang menyimpan hikayat yang belum aku baca, sedaya mungkin aku akan meminjamnya ataupun menyewanya. Setelah habis kubaca, barulah aku pulangkan.

 

“Dari situlah aku mendapat kefahaman mengenai tempat hentian dan kuat perlahan dan sebagainya dalam bacaan. Pesanku kepada sekalian sahabat yang membaca kisahku ini, jika hendak pandai dalam bahasa Melayu, rajinlah membaca segala hikayat dalam bahasa  Melayu. Di dalamnya tersembunyi perkara-perkara yang mulia yang tidak kita ketahui faedahnya sekarang. Kemudian hari kelak ia akan berguna apabila kita hendak mengarang, ataupun hendak menggunakannya.

 

“Pada ketika itu barulah kita teringat bahawa kita pernah bertemu perkataan tersebut dalam kitab dan hikayat yang kita baca. Demikianlah gunanya dan maknanya. Dalam hal ini, jangan engkau salah faham. Kebanyakan hikayat itu aku tahu sebenarnya adalah karut belaka. Aku tidak meminta engkau percaya cerita-cerita itu. Namun biarlah ia tinggal sebagai cerita. Yang penting, pengarangnya itu orang yang pandai. Kita ambil kepandaian ilmunya itu.

 

“Apabila kita sudah mengetahui semua rahsia tersebut, bolehlah kita mengarang perkara yang kita kehendaki, iaitu kisah yang benar dan rencana yang baik. Apabila sudah kita tahu maknanya, maka bertambah baiklah karangan itu. Sudah terang lagi bersuluh.

"Namun ramai orang yang pandai membaca surat-surat dan hikayat-hikayat Melayu apabila ditanya makna sesuatu perkataan yang ada di dalamnya, mereka tidak dapat menjawab. Mereka tidak belajar tentang asalnya perkataan itu dan tidak mengetahui gunanya. Mereka hanya meniru-niru sahaja.” (Rujuk: Hikayat Abdullah – edisi semi klasik adaptasi oleh Hamzah Hamdani, 2007: 108-109)


Ulasan ini adalah pandangan peribadi penulis/penyumbang dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang pengarang Malaysiakini.

Penulis seorang novelis dan penyunting di sebuah agensi berkaitan kerajaan .


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!