malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khazanah jual kepentingan Proton kepada DRB-Hicom
Diterbitkan:  Jan 16, 2012 3:51 PM
Dikemaskini: 7:53 AM
ADS

Khazanah Nasional Bhd mengumumkan yang ia akan menjual 42.74 peratus kepentingannya dalam Proton Holdings Bhd kepada DRB-Hicom Bhd menerusi jualan bersyarat dengan harga RM5.50 sesaham atau RM1.291 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, Khazanah berkata keputusan itu dibuat berikutan perbincangan dan penilaian terperinci pelbagai cadangan bagi memastikan yang proses itu diteliti, nilai kewangan yang wajar telah diterima dan pemegang saham baharu itu boleh membawa syarikat pembuat auto nasional ini ke peringkat seterusnya pertumbuhan strategik seiring dengan aspirasi perkembangan perindustrian sektor automotif nasional.

Penjualan ini masih lagi tertakluk kepada, antaranya, kelulusan pemegang saham DRB-Hicom.

"Sebaik selesainya perjanjian jual dan beli, DRB-Hicom perlu melaksanakan tawaran awam mandatori ke atas baki saham Proton,” kata cabang pelaburan kerajaan itu.

Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar berkata menurut penilaian menyeluruh cadangan itu, yang menawarkan strategi perniagaan yang jelas dan boleh dilaksanakan, DRB-Hicom telah dikenal pasti sebagai pihak yang paling sesuai untuk mengambilalih kepentingan dalam Proton.

"Cadangan DRB-Hicom turut memperlihatkan yang penglibatan menyeluruh syarikat dalam sektor automotif dan rangkaian kerjasama strategik, kedua tempatan dan antarabangsa.

"Cadangan strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom menyediakan platform yang efektif bagi meningkatkan kemampanan Proton dan memenuhi keperluan pertumbuhan jangka panjangnya.

"Ia turut mengemukakan harga tawaran yang boleh diterima kepada Khazanah,” kata beliau.

Pengumuman oleh cabang pelaburan kerajaan itu sekali gus menjawab segala persoalan mengenai pihak manakah yang akan mengambilalih kepentingan besar dalam syarikat pembuat auto negara itu bagi memacu syarikat berkenaan ke arah kejayaan yang lebih hebat.

Sejak beberapa bulan lepas, banyak pihak telah secara langsung dan tidak langsung mengumumkan minat untuk memiliki kepentingan dalam Proton.

Selain daripada DRB-Hicom, Pengerusi Proton Holdings, Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh juga telah tampil untuk mengumumkan minatnya dalam saham itu. Urus niaga saham-saham Proton Holdings dan konglomerat DRB-Hicom Bhd digantung dari pukul 9 pagi hingga 5 petang tertakluk kepada pengumuman.

Saham-saham Proton ditutup pada RM5.18 pada hari Jumaat sementara DRB-Hicom pada RM2.17.

Sementara itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, DRB-Hicom yang mempunyai kaitan dengan taikun Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary, berkata cadangan pengambilalihan itu dijangka mampu mewujudkan sinergi dan peluang perniagaan untuk kumpulan DRB-Hicom dan Proton untuk mengembangkan program vendor pensetempatan dan tempatan.

Ia menambah yang DRB-Hicom akan mengekalkan hasrat dan kepentingannya untuk melindungi syarikat pembuat kereta itu dan pada masa yang sama, menggalakkan, memudahkan, mengembangkan dan meningkatkan industri automotif Malaysia, sekali gus menjadikan Malaysia haba automotif pilihan.

"Kumpulan DRB-Hicom Group ialah antara peserta utama dalam industri automotif di Malaysia, terlibat dalam rantaian bersepadu keseluruhan ekosistem automotif seperti pembuatan dan pengedaran komponen automotif, pemasangan, pengedaran dan jualan motosikal dan kenderaan komersil serta pengedaran dan jualan kereta penumpang.

"Cadangan MGO itu pula akan menyediakan peluang untuk DRB-Hicom terus meningkatkan pegangan sahamnya dalam Proton dan selepas pengambilalihan, dan selepas itu menyaksikan Proton menjadi anak syarikat DRB-HICOM sekiranya cadangan MGO itu berjaya,” kata syarikat.

DRB-Hicom berkata cadangan itu dijangka tidak memberikan kesan kepada pendapatan dan pendapatan sesaham DRB-Hicom untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac, 2012 memandangkan cadangan itu hanya dijangka selesai dalam suku kedua 2012.

Ia menambah cadangan itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan kerana Proton telahpun sedia menjana pendapatan.

- Bernama