malaysiakini logo
story-image
ADS

Calon BN bagi pilihan raya kecil Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad terus bergelut dengan isu berhubung sijil akademiknya.

Selepas selesai proses penamaan calon tadi, soalan mengenainya masih dilontarkan oleh pihak media kepadanya.

Beliau didakwa tidak lulus semasa belajar di Universiti Al-Azhar dan dituduh membeli ijazah dari universiti berkenaan.

Menurut laporan, Syed Ibrahim yang juga naib ketua Umno bahagian Kuala Krau mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan di Sekolah Menengah Agama Al Khairiah Temerloh sebelum menyambung pelajaran di Universiti Al-Azhar pada 1989 hingga 1996.

NONE Beliau menangkis isu tersebut dengan menunjukkan ijazah Bahasa Arab (kiri) yang diperolehinya dari Universiti Al-Azhar, Mesir kepada pemberita.

   

"Seminggu saya bertahan...saya tidak suka menunjukkan sijil (ijazah), tapi terpaksa, bukan untuk takbur," katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

   

Syed Ibrahim berkata beliau terpaksa berbuat demikian selepas didesak banyak pihak bagi mengemukakan bukti latar belakang pendidikannya itu.

   

"Saya diajar supaya tidak menuntut ilmu untuk berbangga, untuk jatuhkan orang tetapi saya dididik untuk berkhidmat dan memberi ilmu kepada masyarakat," katanya.

Syed Ibrahim, 44, menerima ijazah tersebut pada 1997.

Katanya beliau tidak  pernah berasa kesal dan terkilan dengan tuduhan yang mengatakan beliau menipu berhubung kelulusan akademiknya itu.

   

"Saya berdoa supaya tabiat mereka yang suka melemparkan tuduhan agar dibersihkan jiwa mereka," katanya sambil menyifatkannya sebagai satu 'serangan peribadi'.

NONE Sementara itu, calon PAS pula, Hassanuddin Salim berkata, beliau hari ini bangun pada jam 5 pagi dengan perasaan optimis.

Bagaimanapun, beliau masih mahu merahsiakan pendekatan dan strateginya.

'2Malaysia'

"(Strategi saya) menawan hati semua orang," katanya ringkas sambil senyum lebar.

Ketika SPR mengumumkan mereka berdua sah bertanding, suasana di Dewan Tun Razak dan sekitarnya di Temerloh bingit dengan sorakan penyokong dan pemimpin kedua-dua parti.

BN melaungkan 1Malaysia manakala PAS pula rancak bertakbir. Bagaimanapun, pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir sempat menyindir BN dengan mengangkat isyarat jari nombor dua, sebagai parodi kepada slogan 1Malaysia.

Antara pemimpin Pakatan yang hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Naib Presiden PKR Fuziah Salleh.

Di pihak BN pula, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein serta Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Di luar dewan, kedua-dua penyokong yang dipisahkan kawat berduri kira-kira 40 meter.

Hasanudin diringi kira-kira 2,000 penyokong manakala Syed Ibrahim pula berarak bersama 1,000 orang.

Bagaimanapun, kelihatan di kawasan BN lebih berwarna-warni apabila penyokongnya membawa pelbagai kain rentang dan poster berbanding PAS yang rata-rata hanya membawa benderanya.

Tiada insiden tidak diingi berlaku.