malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lim: Siapa pemimpin pembangkang itu?
Diterbitkan:  Feb 9, 2011 5:05 PM
Dikemaskini: 9:11 AM
ADS

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan pemimpin pembangkang yang ditemuinya dan dijanjinya tidak akan ditangkap dalam Operasi Lalang 1987.

NONE "Biar Mahathir namakan pemimpin pembangkang yang beliau temui dan berjanji tidak akan menangkap mereka tetapi telah dilanggar oleh polis dalam tangkapan Operasi Lalang," kata Lim dalam kenyataannya.

Cabaran itu dibuat berikutan kenyataan Mahathir dalam buku "Doctor M: Operation Malaysia – Conversations with Mahathir Mohamad” oleh Tom Plate.

Dalam buku itu, bekas perdana menteri itu dalam wawancaranya berkata dia telah menemui semua pemimpin pembangkang dan meyakinkan mereka bahawa mereka tidak akan ditangkap menjelang Operasi Lalang tahun 1987.

"Dan awak tahu apa yang polis buat? Polis menangkap mereka. Habis kredibiliti saya," kata Mahathir dalam wawancara itu.

ops lalang 261005 star front page Bagi Lim, Mahathir bukan sahaja menghidap penyakit ingatan terpilih dan salah ingatan tetapi juga memutarbelitkan kebenaran sepanjang 22 tahun sebagai perdana menteri.

"Saya tidak pernah bertemu Mahathir dan dia tidak pernah memberikan jaminan kepada saya bahawa saya tidak akan ditangkap sebelum Operasi Lalang dilancarkan pada 27 Oktober 1987, walaupun sehari sebelum itu saya telah bercakap di Parlimen bagi membahaskan bajet 1988," kata Lim.

Bagi pemimpin kanan DAP itu, adalah tidak wajar bagi Mahathir untuk melepaskan bebanan Operasi Lalang itu kepada polis.

operasi lalang ops lalang Ini kerana, dia bukan sahaja telah mempertahankan tindakan polis menangkap 106 orang di bawah Seksyen 73 ISA itu bahkan juga telah menggunakan kuasanya sebagai menteri dalam negeri untuk memerintahkan 49 daripada mereka ditahan selama dua tahun di Kamunting.

Lim juga mendakwa Mahathir membuat dakwaan palsu terhadap ahli parlimen DAP dengan berkata mereka ditangkap bukan kerana mereka ahli parlimen atau fahaman politik mereka tetapi kerana 'cuba mencetuskan ketegangan kaum'.

Misalnya, Mahathir telah memberitahu Asiaweek 11 November 1988, "Segelintir mereka masih ditahan kerana mereka enggan berhenti daripada mencetuskan ketegangan kaum.

ops lalang 261005 star detainees "(Lim) telah ditangkap bukan kerana dia pemimpin pembangkang tetapi kerana dia mencetuskan ketegangan kaum di negara ini. Mereka akan terus ditahan sehinggalah mereka berubah fikiran untuk membuat perkara yang betul.."

"Mahathir tidak boleh mengelakkan diri dari bertanggung jawab dan meletakkannya di bahu polis tetapi perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah menjadi peneraju dalam Operasi Lalang, satu peristiwa gelap dalam sejarah hak asasi manusia di Malaysia," kata Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!