malaysiakini logo
story-image
ADS

Timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengulangi sokongannya terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak bagi menepis tanggapan bahawa hubungan antara mereka berdua kini "renggang."

Berucap ketika merasmikan pelancaran sebuah buku bertajuk "Najib Tun Razak Melakar Transformasi Malaysia" hari ini, Muhyiddin berkata masalah berkenaan sengaja ditimbulkan oleh pembangkang.

NONE "Saya sudah nyatakan walau diprovokasi berulang kali, saya akan kekal sokong beliau (Najib)," katanya dalam majlis di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur petang ini.

Ketika ditanya lanjut dalam sidang media selepas itu, Muhyiddin juga menafikan bahawa berlakunya krisis antara beliau dengan Najib.

Beliau menjelaskan bahawa beliau tidak perlu tampil menyatakan ikrar taat setianya seperti itu.

Namun, beliau berasa terpanggil untuk menyatakannya kerana di dalam buku yang baru dilancarkan hari ini memuatkan satu bab khusus "Gandingan mantap Najib-Muhyiddin" yang telah dibacanya.

"Kalau disorot sejarah kepemimpinan beliau hingga jadi perdana menteri, saya telah membantu dan menyokong lebih-lebih lagi di peringkat sekarang.

Sebaik mungkin

"Beliau memberi kepercayaan kepada saya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pelajaran," katanya lagi.

Katanya lagi, beliau telah melaksanakan tugas tugas berkenaan dengan "sebaik mungkin."

Katanya lagi, beliau juga akan terus menyokong Najib yang telah memberikan kepercayaan kepadanya.

NONE "Saya tahu di mana kedudukan saya dan bos saya ialah PM," tambahnya yang menjelaskan bahawa soal kesetiaannya itu ditimbulkan sebagai masalah oleh "pihak di sebelah sana."

Jelasnya, pihak berkenaan mungkin mengambil kesempatan untuk menimbulkan persoalan bahawa hubungan di antara mereka kini "renggang."

"Ini tidak berjaya mereka (pembangkang) lakukan," katanya yang turut menegaskan bahawa tidak ada apa-apa krisis antara beliau dan Najib.

Buku setebal 273 halaman terbitan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu dijual dengan harga RM100.