malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
B'nai B'rith isytihar Anwar musuh Israel
Diterbitkan:  Jun 3, 2010 10:09 AM
Dikemaskini: 2:39 AM
ADS

Pertubuhan pro-Israel tertua di dunia, B'nai B'rith International , yang menyifatkan diri mereka sebagai jagoan Yahudi sejagat, mengisytiharkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ancaman kepada kaum Yahudi.

azlan Dalam gesaan rasmi badan itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat, John F Kerry, B'nai B'rith mendesak Washington DC memutuskan semua hubungan dengan Anwar Ibrahim kerana membangkitkan kebencian terhadap Israel dan Yahudi-Zionis.

B'nai B'rith ditubuhkan pada 13 Oktober 1843 - ia mempunyai 200,000 anggota dan penyokong di 50 buah negara dan dikatakan sebagai gerakan yang paling aktif memperjuangkan kepentingan rejim Israel.

Harakah Daily dan juga TV Selangor mengeluarkan kecaman badan Yahudi itu terhadap Anwar dalam portal berita mereka.

Kecaman terhadap Anwar yang juga ketua umum PKR itu dibuat menerusi rasmi B'nai B'rith kepada John F Kerry, bertarikh 25 Mei lalu.

Ia melahirkan kebimbangan di atas kenyataan-kenyataan Anwar yang dikatakan anti-Israel semasa mendedahkan hubungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan firma perunding Apco Worldwide pada 30 Mac lalu di parlimen.

azlan TV Selangor juga memetik B'nai B'rith yang memandang serius ucapan Anwar yang mereka sifatkan anti-Israel semasa membongkar pencerobohan perisik rejim Tel Aviv di ibu pejabat polis Bukit Aman.

"Manusia seperti Anwar Ibrahim tidak sewajarnya diberi penghormatan yang sekarang ini diterimanya hasil dari hubungan baik dengan Amerika Syarikat," tegas Presiden B'nai B'rith Dennis W Glick.

"Serangan beliau terhadap kerajaan Perdana Menteri Najib Abdul Razak disadur dengan fitnah yang anti-Yahudi dan anti-Israel," menurut surat itu lagi.

Anwar  sebelum ini turut diserang portal rencana The New Ledger kerana mempersoalkan ikatan kerajaan Najib dan Apco Worldwide.

Penulis terbabit, Rachel Motte, menuduh Anwar sebagai ekstremis dan membidas tindakan beliau membantah "keberanian Najib" menurut kehendak Washington menekan Republik Islam Iran.

NONE "Orang-orang kanan Anwar berkata kerajaan Malaysia melantik syarikat (Apco Worldwide) yang di dakwa mempunyai talian erat dengan rejim Zionis di Israel. Mereka mendakwa panel penasihatnya terdiri dari bekas ketua keselamatan kerajaan Israel dan ramai pekerjanya adalah bekas anggota Agensi Keselamatan Israel," kata Rachel Motte.

"Anwar terus membangkitkan sentimen anti-Semitik dengan mendakwa adanya perisik Israel dalam unit Teknologi Maklumat PDRM," menurut rencana itu lagi.

Penulis bagaimanapun tidak menampilkan bukti menunjukkan sebaliknya, mahupun bukti Apco Worldwide atau pekerjanya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan rejim Tel Aviv.

Anwar mendedahkan pencerobohan ejen perisikan Israel di Bukit Aman di Dewan Rakyat pada 6 April lalu berdasarkan kepada laporan Pengarah Bahagian Logistik PDRM Datuk Mahsuri Zainal.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!