malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Jalan tengah' strategi pancing DAP
Diterbitkan:  Jan 19, 2010 9:44 AM
Dikemaskini: 7:55 AM
ADS

Persidangan kebangsaan ke-15 DAP pada hujung minggu lepas telah membayangkan bahawa parti itu dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat akan berusaha menyesuaikan diri mereka dengan trend terbaru politik negara ini.

dap agm ipoh 170109 lim guan eng Penganalisis politik percaya pendekatan "jalan tengah" seperti diumumkan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng, yang juga ketua menteri Pulau Pinang, menunjukkan Pakatan Rakyat terdiri daripada DAP, PAS dan PKR akan berusaha menarik golongan "atas pagar" yang kini dikatakan semakin ramai.

"Mereka akan cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran baru politik dengan mengambil pendekatan jalan tengah untuk menarik golongan atas pagar yang tidak menganggotai mana-mana parti politik, tetapi amat terpengaruh dengan isu-isu," kata penganalisis politik Dr Sivamurugan Pandian.

Dengan mengambil "jalan tengah", beliau berkata parti itu mahu menunjukkan bahawa pembangkang menyediakan alternatif dan memperjuangkan "keadilan dan kesamarataan untuk semua rakyat Malaysia", ketika beberapa parti politik masih mengambil pendekatan konservatif terhadap isu tertentu.

Di masa lalu, DAP mendapati dirinya menjadi sasaran pihak yang menganggap parti itu sebagai "kumpulan cauvinis Cina yang mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan mempersoalkan kedudukan agama Islam, agama rasmi negara".

"Trend baru ini (jalan tengah) sesuai dengan senario politik semasa mengikut pemahaman mereka. Pengundi di kawasan bandar memilih untuk berada dalam kelompok ini dan pengundi bandar yang mengubah nasib mereka," kata Sivamurugan.

"Melalui perkiraan secara konservatif, pembahagian sokongan di mana-mana kawasan sentiasa 35 peratus bagi (BN) dan 35 peratus bagi pembangkang manakala 30 peratus lagi ialah golongan atas pagar.

"Bagaimanapun, jumlah golongan atas pagar semakin meningkat, berdasarkan hakikat bahawa pengundi kini lebih berorientasikan isu dan tidak mahu terikat dengan mana-mana parti politik.

"Pada pilihan raya umum lepas, kira-kira 70 peratus golongan atas pagar dipercayai telah memberi undi mereka kepada pembangkang dan menjadi penentu penting yang menyebabkan kekalahan BN," katanya.

Pakar strategi DAP dan anggota parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong, menjelaskan keputusan pucuk pimpinan parti untuk mengambil "jalan tengah" yang diberi nama sebagai "Middle Malaysia", dibuat berdasarkan strategi parti untuk melakukan perubahan.

"Tiada perubahan daripada segi idea. Apa yang berlaku ialah kami mahu memaparkan imej kolektif Pakatan Rakyat dan memperluaskan pendirian kolektif kami.

NONE "Pemikiran pada masa kini ialah kerajaan mesti mempunyai daya tarik kepada semua masyarakat. Slogan sahaja tidak cukup untuk menarik sokongan rakyat," katanya.

Sebelum ini, parti itu memperjuangkan konsep "Malaysian Malaysia" yang menekankan kesamarataan bagi semua dan telah mendominasi ideologi parti sejak penubuhannya pada akhir 1960-an, tetapi dipandang dengan perasaan syak dan dibantah sesetengah masyarakat.

Liew berkata perubahan strategik itu dilakukan dalam konteks nasional -- di mana parti itu mahu dilihat sebagai inklusif kepada semua bangsa dan dengan berbuat demikian, parti berharap untuk menjadi platform bagi trend politik semasa.

"Kami mahu mengisi ruang kosong itu. Inilah mesej kami. Ini bukan sekadar mengenai DAP tetapi Pakatan secara keseluruhan," katanya.

Bagaimanapun, Sivamurugan berkata masih banyak kerja perlu dilakukan oleh parti itu, khususnya dalam menyakinkan anggotanya sendiri yang parti memerlukan komponen lain dalam pakatan pembangkang jika mahu terus berkuasa.

"Mereka juga perlu menyakinkan parti komponen Pakatan bahawa DAP bukan satu ancaman. Di samping itu, adalah sukar bagi mereka (pembangkang) untuk dilihat sebagai mengamalkan prinsip 'bersetuju untuk tidak bersetuju' jika mereka gagal menyelesaikan sebarang isu," katanya.

Pada masa ini, parti sudah menghabiskan separuh daripada penggalnya sebagai sebahagian kerajaan pakatan di Pulau Pinang dan Selangor, dan pendekatan baru parti itu dilihat sebagai hala tuju barunya dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Sivamurugan juga berkata para pemimpin parti itu perlu berdepan dengan realiti yang mereka perlu bekerja tanpa pemimpin utama mereka seperti veteran DAP Lim Kit Siang, penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan mursyidul am PAS  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

NONE "Mereka perlu menangani era selepas Kit Siang, selepas Anwar dan selepas Nik Abdul Aziz jika mereka mahu melaksanakan pendekatan jalan tengah ini dan meyakinkan rakyat yang mereka merupakan pilihan tepat," katanya.

Sementara parti-parti pembangkang dilihat cuba menyesuaikan diri dengan perubahan trend politik, Sivamurugan juga tertanya-tanya jika parti komponen BN akan turut berbuat demikian.

"Pembangkang dilihat lebih liberal. Apakah persediaan BN dalam menghadapi perubahan ini?

"Adakah mereka akan bersikap lebih konservatif atau mengikut rentak pembangkang dengan turut mengambil jalan tengah?" katanya.

"Apa juga pendekatan yang diambil oleh BN, ia tidak boleh dibuat secara ad hoc tetapi mereka perlu mencari penyelesaian jangka panjang.

"Mereka perlu mencari jalan lebih baik dalam memancing golongan atas pagar dan juga dalam memenuhi kehendak pengundi muda dan kumpulan kelas pertengahan kerana majoriti mereka tidak menganggotai mana-mana parti politik," katanya.

- Bernama