malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Hari tanpa beg plastik' di S'gor mulai 9 Januari
Diterbitkan:  Dec 31, 2009 4:00 PM
Dikemaskini: 8:11 AM
ADS

Kempen 'hari tanpa beg plastik' di Selangor bagi membendung masalah pencemaran yang semakin berleluasa, akan berkuatkuasa setiap Sabtu mulai 9 Januari depan.

Keputusan tersebut telah diluluskan oleh mesyurat exco kerajaan negeri.

Kempen tersebut telah dilancarkan oleh exco kerajaan negeri, Elizabeth Wong yang juga pengerusi jawatankuasa tetap hal ehwal pengguna, pelancongan dan alam sekitar pada 20 Disember lalu.

Sebanyak 14 syarikat besar telah menyertai kempen tersebut, antaranya AEON Jusco, 99 Speedmart, Parkson, Guardian Pharmacy, IKEA, The Store, Econsave, Vitacare Pharmacy, 7 Eleven, Carrefour, Giant, Watsons dan Pasaraya ( shopping Mall) iaitu Sunway Pyramid dan One -Utama.

Menurut kenyataan sekretariat akhbar kerajaan negeri, pada hari pelaksanaan kempen tersebut, pengguna digalakkan membawa beg dari rumah kerana beg plastik tidak akan dibekalkan kepada pengguna.

Sebaliknya pengguna akan dikena bayaran 20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik bagi menggalak penggurangan pengunaannya.

"Bayaran yang dikenakan akan disalurkan kepada tabung kebajikan yang tertakluk kepada tanggungjawab sosial setiap syarikat," kata kenyataan itu lagi.

Elizabeth berharap pengguna memberi kerjasama menjayakan kempen tersebut untuk bersama-sama mempelihara alam sekitar demi kesejahteraan masa depan kita.

Beliau juga yakin lebih ramai gedung membeli-belah, hypermarket, supermarket, farmasi, syarikat-syarikat dan peruncit-peruncit yang lain akan menyertai kempen berkenaan.

Menurut kenyataan itu lagi, kempen tersebut akan dijalankan selama enam bulan pada peringkat awalnya dan kerajaan negeri akan menilai kesannya dan mempertimbangkan sama ada perlu menambahkan hari kempen itu.

Pada masa yang sama, tambahnya, kerajaan negeri juga akan menyebarkan risalah, poster dan bunting berkenaan kepada orang ramai untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kempen ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!