malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Presiden Indonesia: Ada pihak mahu jatuhkan saya
Diterbitkan:  Dec 7, 2009 8:23 PM
Dikemaskini: 12:25 PM
ADS

Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sekali lagi menyatakan secara terbuka kemungkinan sebuah pergerakan politik mahu menjatuhkan beliau dengan berselindung di sebalik perhimpunan menentang rasuah berkaitan skandal Bank Century.

"Setiap malam, saya memanjatkan doa bersama isteri dan keluarga saya," katanya semalam semasa berucap pada sidang kemuncak Parti Demokratik pimpinan beliau yang disiarkan melalui televisyen.

"Apa sebenarnya tujuan semua pembohongan dan perbuatan memburuk-burukkan peribadi saya ini? Logik saya mengatakan pergerakan politik ini mahu memburukkan nama saya, menggoncang kedudukan dan menjatuhkan saya dalam tempoh terdekat," katanya yang dipetik akhbar harian berbahasa Ingeris The Jakarta Post hari ini.

Susilo merujuk kepada tuduhan beberapa NGO, khususnya Barisan Demokrasi Rakyat (Bendera), kononnya beberapa orang yang rapat

dengan beliau termasuk anak lelakinya Edhie 'Ibas' Baskoro, telah memperoleh wang daripada urusan menyelamatkan Bank Century.

Usaha menyelamatkan bank itu melibatkan Rp 6.76 trilion (US$716 juta).

Susilo menggunakan ucapan itu untuk menafikan sekali lagi bahawa beliau dan sekutu rapatnya atau Parti Demokratik melakukan penyelewengan dalam urusan menyelamatkan bank itu.

Susilo berkata beliau telah diberi taklimat tentang satu perhimpunan yang dirancang diadakan pada 9 Dis bagi menyambut hari Antirasuah Antarabangsa, yang sebenarnya mempunyai "agenda politik tersembunyi" yang tiada kaitan dengan gerakan menentang rasuah.

"Tapi, saya bersyukur kepada Allah kerana telah mendapat maklumat yang agak lengkap tentang siapa yang mendalanginya dan tujuan sebenar perhimpunan pada 9 Dis ini," kata Susilo sambil menyelar individu serta kumpulan yang menyertai perhimpunan menentang rasuah dengan berkata sebenarnya mereka hanya menjadi penumpangnya semata-mata.

Bagaimanapun, Prabowo Subianto, pengasas Partai Gerakan Indonesia Raya (Gerindra), menolak tuduhan presiden itu dengan berkata partinya hanya ingin mendedahkan perkara sebenar di sebalik skandal Bank Century.

Ini adalah kes kedua yang didakwa secara terbuka oleh Susilo bertujuan menjatuhkan beliau.

Pada 17 Julai, berikutan kejadian letupan bom di Hotel JW Marriott dan Hotel Ritz-Carlton pada hari yang sama, Susilo berkata beliau menjadi sasaran pengganas, yang juga akan menyerang suruhanjaya pilihan raya bagi menghalang peluangnya memenangi pilihan raya.

Prabowo juga menafikan dakwaaan Susilo itu.

Akhbar harian itu juga melaporkan bahawa oleh kerana ramalan itu tidak menjadi kenyataan, timbul tanggapan bahawa Susilo membuat kenyataan terbuka bagi mengelak berlakunya serangan atau beliau telah menerima maklumat risikan yang tidak tepat.

Pengerusi pergerakan Islam, Muhammadiyah, Din Syamsuddin berkata amaran yang dikeluarkan oleh Susilo kali ini mungkin betul, dan menegaskan bahawa: "Mereka yang menganggotai gerakan antikorupsi itu, sila tampil ke depan. Mereka yang bukan, jangan jadi ganggu."

Bekas timbalan pengerusi Komisi Pembenterasan Korupsi (KPK) Erry Riyana pula berkata kebimbangan Susilo bahawa gerakan menentang rasuah itu boleh digunakan bagi mencapai tujuan tersembunyi, tanpa menghiraukan kepentingan dan ketenteraman awam, memang mudah untuk difahami.

"Perkara paling penting ialah presiden tidak menghalang tunjuk perasaan pada 9 Dis diadakan," katanya.

Bagaimanapun, beberapa pemerhati mendakwa Susilo takutkan bayang-bayang sendiri dan menggesanya supaya berhenti daripada menggunakan helah lama kononnya menjadi mangsa pihak tertentu, demi meraih sokongan orang ramai.

"Saya benar-benar kesal dengan kenyataan beliau bahawa ada agenda tersembunyi di sebalik gerakan 9 Dis," kata Fadjroel Rachman daripada Komisi Masyarakat Sipil Antikorupsi.

"Perhimpunan itu bertujuan menyambut semangat antikorupsi. Kalau presiden tidak bersalah, kenapa beliau perlu takut," kata beliau yang dipetik oleh akhbar berkenaan.

Beberapa akhbar harian utama lain juga menyiarkan laporan serupa di muka hadapan masing-masing hari ini. BERNAMA