malaysiakini logo
story-image
ADS

Travelog Pada hari kelima, kami 'bermukim' di Hotel Millenium untuk mengikuti perbincangan dan perbahasan isu-isu semasa mengenai Islam, khususnya yang berkaitan dengan wanita.

kiyai husein muhammad Kiyai Husein Muhamad diundang memberi pandangan dan menjawab permasalahan yang ditimbulkan, antaranya isu poligami, persoalan kepemimpinan, aurat dan pemakaian tudung.

Kiyai Husein adalah pemimpin pesantren Dar al-Tauhid Arjawinangun, Cirebon, Jawa Barat. Beliau juga adalah pengasas Institut Fahmina - NGO yang ditubuhkan untuk mewujudkan wacana kritis dalam masyarakat Indonesia, termasuk isu gender.

Penganjur menetapkan beberapa tajuk yang dikhususkan untuk perbincangan tersebut.

Antara yang dipilih ialah tajuk yang menyentuh soal kepimpinan lelaki dan perempuan, poligami, perbezaan seks, gender dan soal hijab.

Saya turut meminta Kiyai Husein menerangkan metodologi yang digunakan beliau dalam pentafsirannya sebelum beliau meneruskan perbincangan lanjut.

Bagi saya, ia penting bagi memudahkan perserta rombongan, yang berlainan latar belakang memahami penjelasan beliau selepas itu.

Dengan bantuan power point, Kiyai Husein yang juga ahli lembaga pengarah Rahima, menggariskan tujuh metodologi yang menjadi asas beliau mentafsirkan ayat al-Quran.

Menurut Kiyai Husein, seseorang pentafsir itu harus:

- Memahami bahasa Arab (Nafs al-Khitab)

- Memahami situasi atau keadaan orang yang menyampaikan

- Memahami situasi dan keadaan penerimanya.

- Memahami latar belakang ayat (Asbab Nuzul)

- Memahami rasionaliti teks (illat hukum / rasio logis)

- Memahami tradisi dan sistem sosial

- Menjadikan tujuan syariat (Maqasid al Syariah) sebagai dasar hukum

Sesuatu yang menarik perhatian saya, adalah mengenai metodologinya yang terakhir itu, apabila beliau turut memetik pandangan ulama untuk menyokongnya.

NONE Antaranya, beliau memetik kata-kata ulama Izzuddin Abdul Salam, Ibn Qayyim dan Ibn Rushd, yang pada umumnya, menyatakan syariat Allah ditentukan untuk membawa kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudharatan (keburukan) dalam kehidupan seharian manusia.

Sebagai langkah praktisnya dalam membincangkan tentang soal poligami, beliau menulis ayat ke-3 dari surah an-Nisa' pada sebuah kertas putih di hadapan kami.

Beliau kemudiannya menterjemahkannya, "sekiranya seseorang lelaki itu khuatir tidak boleh berbuat keadilan, maka hendaklah ia berkahwin seorang... yang demikian itu lebih dekat untuk tidak berbuat zalim".

"Ayat yang terakhir, 'yang demikian itu lebih dekat untuk tidak berbuat zalim' sepatutnya harus menjadi inspirasi kita dalam melakukan apa-apa pun tindakan (untuk berpoligami)," tegas Kiyai Husein.

Seorang peserta perempuan menyokong pandangan Kiyai Husein dan menyatakan perkara itu begitu sukar untuk difahami oleh lelaki di Malaysia menyebabkan mereka bertindak berkahwin dua dan ada yang mengabai tanggungjawab kepada isteri pertama.

Kiyai Husein kemudiannya membaca ayat 129 dari surah yang sama, yang menyuruh lelaki yang berpoligami agar tidak melebih-lebihkan seorang isteri dan mengabaikan isteri yang lain.

Beliau berpendapat seseorang yang ingin berpoligami wajar meminta izin dari mahkamah dan isterinya yang pertama.

Katanya, si suami yang mahu berpoligami juga harus mempunyai sumber ekonomi yang kukuh dan pemerintah pula, perlu mengambil tindakan jika mereka engkar.

Kedengaran beberapa peserta yang menghela nafas lega selepas mendengar penjelasan tokoh agama itu.

Perbincangan kami berhenti selama 10 minit untuk minum pagi. Saya ternampak beberapa peserta menemui Kiyai Husein untuk mendapat penjelasan lanjut.

NONE Mengenai soal kepimpinan, Kiyai Husein berkata, ayat 34 surah al Nisa' bermaksud "kaum lelaki adalah pemimpin kepada kaum wanita" yang berkait dengan hal ehwal rumahtangga.

Selalunya, kata beliau, masyarakat hanya menterjemahkan ayat tersebut setakat itu sahaja sedangkan sambungannya telah diabaikan.

"Sambungan ayat tersebut menjelaskan bahawa kedua-dua entiti itu saling memerlukan antara satu sama lain perlu dititikberatkan," katanya.

Beliau mengklasifikasikan ayat ini sebagai ayat khusus yang menunjukkan kepada satu kes tertentu yang berlaku di zaman Rasulullah mengenai kumpulan lelaki tertentu yang menjadi pemimpin kepada kumpulan wanita.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan agar peserta tidak terburu-buru mengaplikasikannya dalam realiti sosial hari ini kerana ayat tersebut diturunkan berdasarkan realiti sosial yang berlaku di zaman tersebut dan permahamannya juga berubah mengikut peredaran masa.

"Tetapi realiti sosial sekarang bagaimana? Zaman dahulu, perempuan dikatakan tidak boleh belajar, tidak keluar rumah untuk mencari nafkah, tidak cerdas. Cerdas atau tidak seseorang itu, dibina oleh konstruksi sosial" kata Kiyai Husein lagi.

Esok: Gelora Bung Karno

Hari ke-4 (bah 2): Bertemu tokoh Islam liberal

Hari ke-4 (bah 1): Beramah mesra dengan isteri Gus Dur

Hari ketiga: Berkurung setahun selepas dimadu

Hari kedua (bah 2): Berkunjung ke Komunitas Salihara

Hari kedua (bah 1): Rahima perjuang hak wanita Islam

Hari pertama: Terhoyong-hayang ke pesantren


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!