malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Bulan lepas saya membeli sebuah buku bertajuk Becoming Hannah apabila berpeluang menemuramah Hannah Yeoh sebagai tetamu khas bagi program rancangan “Helo Roket”.

Helo Roket merupakan program temubual DAP bersama-sama dengan pemimpin-pemimpin politik bagi membincangkan isu-isu semasa Malaysia.

Pada mulanya, membaca buku tersebut boleh dikatakan sebagai 'kerja rumah' saya.

Telah menjadi kebiasaan saya untuk membuat sedikit kaji selidik mengenai tetamu khas Helo Roket sebelum menemuramah mereka pada setiap episod.

Tetapi tidak lama kemudian, kerja rumah tersebut telah menjadi biografi kegemaran saya. Tidak dinafikan, buku Yeoh memang menarik dibaca dan berjaya menyentuh hati saya.

Buku beliau telah menjadi sumber inspirasi buat saya, kerana saya masih baru dalam perjuangan politik.

Buku tersebut membantu memberikan ilham dan kekuatan pada diri saya, apabila isi kandungannya menceritakan perjalanan seorang rakyat Malaysia mengorbankan dirinya demi melakukan sesuatu untuk tanah air.

Saya berasa begitu terharu kerana saya juga terpanggil untuk menyumbangkan sesuatu untuk tanah air ini.

Saya mahu bangkit berjuang seperti beliau untuk memastikan tiada kekesalan dalam diri saya pada kemudian hari, jika tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan negara kita daripada kleptokrasi.

Namun, isi kandungan buku ini jauh sekali daripada mampu mencabar atau menggugat keimanan diri terhadap tuhan saya, Allah SWT.

Keimanan saya tidak akan tercabar hanya kerana kisah pengalaman Yeoh dalam buku biografinya.

Pada saya, ia terletak di tangan tuhan, bagaimana tuhan hendak menunjukkan jalannya pada umat yang lain, walaupun umat itu bukanlah seseorang Islam.

Itu adalah keputusan takdir daripada-Nya dan bukanlah hak saya ataupun sesiapa yang lain untuk menghukum ataupun menilai takdir tersebut.

Namun, tidak kiralah apa jua takdir Yeoh, pengalaman beliau tidak mewakili pengalaman umat di seluruh alam dan tentu sekali tidak akan menjejaskan kepercayaan saya terhadap agama saya.

Jujur saya katakan, saya merasakan begitu terkesan sebagai seorang umat Islam, apabila Kamarul Zaman Yusuff mengatakan bahawa buku biografi Yeoh itu mampu mencabar keimanan dan ketakwaan saya.

Iman pada diri sendiri

Kenyataan Kamarul Zaman menggambarkan bahawa seolah-olah begitu tipisnya keimanan umat Islam di Malaysia, dan begitu senang iman itu boleh dimusnahkan, hanya dengan sebuah buku biografi yang ditulis oleh seorang ahli politik.

Pada saya, jikalau iman seseorang itu boleh digugat sebegitu senang oleh sebuah buku biografi, maka masalah keteguhan iman seseorang itu terletak pada dirinya sendiri dan bukannya tanggungjawab Yeoh.

Sepanjang karier politik Yeoh sebagai seorang wakil rakyat, beliau pernah menghadiri pelbagai jenis program-program perayaan umat Islam dalam masjid mahupun surau.

Namun beliau tetap seorang penganut agama Kristian yang begitu komited terhadap kepercayaannya.

Jika ini merupakan satu pengajaran buat saya, maka pengajaran itu adalah kita harus yakin terhadap kepercayaan agama kita, dan bukannya begitu mudah untuk melepaskan akidah kita hanya kerana mengetahui tentang pengalaman hidup orang lain.

Untuk Kamarul Zaman, mungkin dirinya kagum dengan kehebatan “tuhan Hannah Yeoh”.

Namun bagi saya, itu adalah kelemahan iman diri Kamarul Zaman sendiri dan ingin saya menasihatkannya supaya perbanyakkan istighfar.

Pada saya, tidak kiralah apa-apa cerita ataupun kisah yang telah ditulis oleh Yeoh, tidak perlulah kita sebagai umat Islam untuk kagum terhadap kepercayaan atau tuhan orang lain, jika kita benar-benar mempunyai akidah yang kuat.

Pengalaman Yeoh semestinya tidak boleh dibandingkan dengan pengalaman ataupun kepercayaan saya kepada tuhan saya.

Malah, jika seseorang umat Islam boleh dipengaruhi dengan begitu senang ataupun terpujuk hanya dengan sesebuah penulisan, maka ingin saya persoalkan, bagaimana pula dengan filem-filem Hollywood yang selalu menyebarkan ajaran agama Kristian?

Adakah perlu diharamkan juga? Bagaimana pula dengan dakwah-dakwah Kristian yang begitu senang didapati dalam laman web sosial seperti Youtube? Adakah perlu diharamkan juga?

Dan akhirnya, begitu banyak negara-negara barat yang majoriti rakyatnya adalah penganut agama Kristian. Adakah kita perlu mengharamkan umat-umat Islam di Malaysia untuk melawat ke negara-negara tersebut?

Jika jawapannya “ya”, berapa banyakkah lagi perkara-perkara yang perlu kita haramkan untuk memastikan supaya iman umat-umat Islam di Malaysia ini tidak tergugat?

Kamarul Zaman jelas telah mengejek kepercayaan dan keimanan saya. Maaf, tetapi iman saya terletak pada diri saya sendiri dan bukannya pada orang lain.

Oleh itu, kenyataan Kamarul Zaman merupakan satu penghinaan terhadap saya dan umat-umat Islam di Malaysia, kerana kenyataannya telah memberikan gambaran seolah-olah iman umat-umat Islam di Malaysia ini adalah senipis kulit bawang.

Pada saya, komitmen Yeoh terhadap kepercayaan agama beliau adalah soal peribadi beliau dan saya menghormati kepercayaan beliau.

Malah, saya lebih senang dengan seorang wakil rakyat yang memilih untuk komited terhadap kepercayaan agamanya daripada seorang wakil rakyat yang komited terhadap kesenangan dan kekayaan hidup di dunia.
 


JAMALIAH JAMALUDDIN ialah hos untuk program temubual “Helo Roket” yang disiarkan secara langsung di laman sosial Facebook DAP Malaysia. Jamaliah juga adalah anggota majlis Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ) dan pembantu khas kepada anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Tulisan ini pandangan penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen