malaysiakini logo
story-image
ADS

Memang tidak boleh dipertikaikan bahawa rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura banyak menyumbang kepada ekonomi tempatan Johor kerana mereka membawa balik mata wang asing.

Saya juga perlu menegaskan bahawa, kerajaan perlulah mempunyai sikap rasa bersyukur dan hormat kepada mereka.

Adalah tidak adil untuk mengatakan bahawa mereka memilih untuk bekerja di Singapura adalah atas pilihan sendiri seperti yang didakwa oleh Semarang.

Saya berpendapat ADUN Semarang seharusnya turun ke padang sendiri melihat, menanya, merasai dan mengkaji betul-betul apa yang berlaku terhadap mereka dan liku hidup yang perlu mereka harungi.

Sebenarnya, ramai yang ditemuramah mengatakan mereka berulang alik antara JB-Singapura setiap hari kerana tiada pilihan.

Mereka terdesak dengan kos sara hidup yang terlalu mencabar dengan peluang pekerjaan yang tidak mampu menawarkan gaji yang cukup untuk keperluan harian mereka.

ADUN BN yang langsung tidak mengiktiraf pengorbanan dan sumbangan mereka. Ini menunjukkan BN merupakan kerajaan yang tidak prihatin, angkuh dan tidak memahami hati rakyat.

Saya berasa sangat kecewa dengan sikap mereka ini.

Saya ingin bertanya kepada kerajaan dan ADUN BN:

  • Adakah sukar sangat untuk mereka menyuarakan ucapan terima kasih kepada pihak yang banyak menyumbang kepada negara dan negeri Johor?
     
  • Adakah pengiktirafan sebegitu sukar dikeluarkan?
     
  • Mereka yang bekerja di Singapura dan membawa balik wang titik peluh sebenarnya bukan ingin meminta setinggi langit daripada kerajaan.

Semarang juga mengatakan bahawa ramai pekerja asing juga datang bekerja di Malaysia.

Selain tidak memberi sebarang galakan positif atau mengiktiraf rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, adalah tidak adil untuk membandingkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dengan buruh asing yang datang ke negara ini.

Ini seperti luka ditaruh garam.

Saya meminta agar Semarang meminta maaf dan tarik balik kenyataan yang saya rasa tidak menghormati mereka.

Saya juga meminta kepada menteri nesar Johor agar memperbetulkan sebarang hujah-hujah BN yang tidak memberi pengiktirafan kepada mereka yang bekerja di Singapura.

Saya juga berharap MB akan mengucapkan rasa syukur dan terima kasih beliau semasa dalam ucapan pengulangannya nanti.


ANDREW CHEN KAH ENG anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang.

Surat ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen