malaysiakini logo
story-image
ADS

Masalah besar yang dihadapi penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur pada hari ini berpunca daripada perancangan yang lemah.

Berani saya katakan 'for the sake of doing'.

Walaupun ditumpukan kepada golongan rakyat berpendapatan rendah, ini tidak bermakna kita perlu sewenang-wenangnya dalam merancang kediaman yang bakal didiami berpuluh-puluh tahun lamanya.

Masalah besar yang dihadapi kebanyakan PPR di Kuala Lumpur, khususnya Tititwangsa adalah masalah ruang letak kereta yang sangat terbatas.

Ini menyebabkan masalah 'double parking', malah sehingga 'triple parking'.

Saya membayangkan, sekiranya berlaku kecemasan, pastinya kenderaan-kenderaan seperti trak bomba dan ambulans akan menghadapi masalah untuk membantu.

Akhirnya penduduk PPR tersebut juga yang merana.

Saya mengetahui bahawa projek pembinaan tempat letak kenderaan berbumbung telah dijalankan di sesetengah kawasan PPR, tetapi alangkah baiknya sekiranya ia dijalankan bersama pembinaan PPR tersebut dengan tujuan mengurangkan kos dan mengurangkan risiko.

Selain itu, ada PPR yang tidak diselenggara dengan baik seperti PPR Pantai Permai yang menghadapi masalah keselamatan yang tinggi apabila pili bomba dan pemadam api tidak berfungsi dengan baik.

Keadaan ini pastinya akan merisikokan penduduk PPR dan sangat berbahaya.

Kalau kebakaran berlaku dan masalah jalan sempit dan alat kecemasan tidak berfungsi, saya tidak dapat bayangkan apa yang bakal terjadi.

Menjadi misi besar saya untuk melihat sebarang pembangunan yang dibina untuk rakyat dalam semua kelas ekonomi dibangunkan dengan mengambil berat keselamatan, keselesaan dan kelestarian penduduk.

Jika kita masih berterusan dengan sikap yang tidak sensitif kepada rakyat ini bakal menjerumuskan generasi akan datang turut mewarisi masalah yang sama.


DR HATTA RAMLI pengerusi AMANAH Wilayah Persekutuan.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan organisasinya dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen