malaysiakini logo
story-image
ADS

“Dan jika seorang antara orang-orang Musyrikin itu meminta perlindunganmu, maka lindungilah dia supaya dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarlah dia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengerti”. (Au-Taubah:6)

Di dalam sebuah forum; Membina Bangsa Malaysia – Impian Anak Muda, yang dianjurkan oleh DAP cawangan USJ Subang Jaya di Bandar Sunway sekitar tahun 2015, sebagai panelis saya pernah mengungkapkan bahawa setiap daripada kita tidak boleh menentukan apa jenis bangsa dan warna kulit sebelum kita dilahirkan.

Saya jelas dengan pendirian ini sejak dari dulu lagi. Malah, seingat saya, ketika itu saya turut menyebut; jika bangsa Yahudi yang sering didakwa tergolong dari jenis bangsa pintar yang melahirkan jutaan manusia genius, suka saya memilih untuk menjadi bangsa Yahudi jika saya ada pilihan berbuat demikian. Atau jika saya mahukan rupa paras yang cantik – berhidung mancung bermata cantik – mungkin saja saya memilih untuk menjadi bangsa India dan menjadi superstar di Bollywood.

Malah saya juga mahu menjadi bangsa Arab yang fasih berbahasa Al-Quran dan boleh menyanyikan lagu-lagu Arab yang sedang popular ketika itu. Tetapi ianya adalah ketentuan Allah dan bukannya atas usaha kita untuk menentukannya.

Lalu apa daya saya.

Tuhan telah menentukan segala-galanya dari awal atas sebab-sebab yang hanya Dia sahaja tahu dan kita tidak punyai apa-apa kudrat sedikitpun untuk mengatasi-Nya.

Jadi untuk apa selama ini kita berselisih, bergaduh siang-malam, menghina dan merendah dan menghina bangsa lain jika kita tahu ia bukannya atas ketentuan kita? Bukankah ia langsung tidak masuk akal?

Mengapa kita menjadi rasis dan memilih untuk menjadi hakim menentukan buruk-baik dan harga sesuatu bangsa sedangkan kita pun tidak berupaya memilih dan menentukan apa jenis bangsa kita sendiri?

Bangsa jadi dagangan politik

Tidakkah dengan mendabik-dada dan mendakwa bangsa tertentu itulah yang lebih baik, atau bangsa inilah yang lebih mulia, seolah-olah kita sedang mempertikai kejadian Tuhan ini?

Maka dengan sebab itulah persoalan bangsa dan membeza-bezakan kedudukan atas sebab berlainan warna kulit ini adalah persoalan yang sia-sia.

Dan bagi saya pula, ad-Deen Islam itu jauh lebih utama mendahului apa jua jenis bangsa yang membaluti tubuh badan kita. Bukankah bagi kita orang Islam, semua itu tidak langsung mempunyai nilai bandingan walau dengan isi bumi dan seluruh alam ini sekalipun?

Jadi mengapa kita terlalu memberat akal dengan persoalan-persoalan bangsa yang mustahil untuk kita sendiri bahaskan? Dan apa yang paling merbahaya adalah; persoalan bangsa ini telah bersekali menarik persoalan agama sehingga mencetus pertembungan politik yang dahsyat.

Lihat sahaja kepada mereka yang berjuang menjaga kebajikan rakyat, berjuang untuk mengangkat martabat rakyat dan memperbaiki ekonomi negara telah dipotret sebagai seburuk-buruk manusia dek kerana dia bukan Islam dan kafir yang telah dijatuhi hukum masuk neraka di atas dunia lagi.

Polimek ini semakin memburuk dengan sikap parti yang memimpin negara yang mengheret soal bangsa dan agama sebagai sebuah regu yang tidak boleh dipisahkan. Malah ianya dipasarkan tanpa berkesudahan.

Islam memuliakan semua bangsa, agama

Dr Yusuf al-Qaradhawi melalui Ghair Muslimin Fi al-Mujtamal al-Islami, Kaherah Wahbah tahun 1997, mukasurat 5; beliau menjelaskan terdapat beberapa prinsip asas yang utama yang menjadi landasan membina hubungan bagi umat Islam dengan orang bukan Islam.

Pertamanya ialah dengan mempercayai kemuliaan insan sebagai manusia tanpa melihat kepada agama, bangsa dan warna kulit seperti yang dirakamkan oleh Allah di dalam Al-Quran menerusi surah al-Israk ayat 70;

“Kami muliakan anak cucu Adam”

Kemuliaan ini sebenarnya yang menjamin hak setiap manusia untuk dihormati tidak kira apa bangsa dan warna kulit serta anutan kepercayaan sekalipun.

Yang keduanya ialah dengan mempercayai perbezaan agama di kalangan manusia ini berlaku hanya dengan kehendak Allah. Tidak Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.

Kenyataan beliau itu disandarkan melalui rakaman ayat Allah di dalam surah Hud ayat 118 yang bermaksud;

“Sekiranya Tuhanmu mahu, tentu dia jadikan manusia semua bersatu, tetapi mereka sentiasa berselisih”.

Di dalam ayat yang lain iaitu menerusi surah Yunus ayat 99, Allah sekali memberi peringatan akan kewujudan perbezaan sebagai tanda kekuasaanNya.

“Dan sekiranya Tuhanmu mahu, tentu semua orang di bumi ini beriman. Adakah kamu (mahu) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang yang beriman kesemuanya?”

Sebagai Muslim, yang berkebetulan pula dilahirkan berbangsa Melayu, kita sepatutnya menjadi tiang-tiang penegak kemuliaan ini. Tidak ada yang lebih mulia di kalangan kamu, samada kamu orang Arab ataupun bukan Arab, melainkan mereka yang paling hampir ketakwaannya kepada Tuhan.

“Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Mengurus perbezaan

Setelah mengetahui sebab sebenar berlakunya perbezaan bangsa dan agama ini seharusnya mengajar kita bagaimana untuk mengurus perbezaan ini. Perbezaan warna kulit dan jenis bangsa tidak terjadi sendirinya tanpa sebab.

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu disisi Allah ialah orang yang paling bertakwa diantara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (Al-Hujurat: 13)

Saya terpanggil menulis rencana seperti ini sebagai mengulangi seruan yang dibuat oleh Allah untuk meraikan kepelbagaian yang sepatutnya menjadikan negara ini tempat berteduh untuk yang beriman dan kepada mereka yang memerlukan perlindungan.

Juga sengaja saya bangkitkan perkara ini semula selepas Ketua Pemuda UMNO – Khairy Jamaludin menyimpulkan daripada 20 siri dialog yang diadakan menjelaskan Transformasi Nasional 2050 (TN50), beliau mendapati belia Malaysia mahu tembok yang memisahkan kaum-kaum di negara ini diruntuhkan.

Harapan ini sebenarnya telah lama diungkapkan. Ia telah menjadi aspirasi mereka yang beriman dengan ayat-ayat Allah. Namun, disebabkan antara yang mengangkat idea ini adalah dari parti politik seperti DAP, maka pergi jahanam semuanya.

Mengangkat idea bangsa Malaysia bukan bermakna manghapus identiti asal bangsa, budaya atau adat resam yang menjadi pakaian bangsa. Ianya lebih kepada meraikan kepelbagaian, tegar bertoleransi, bersetuju atas titik persamaan dan menerima perbezaan. Semua elemen ini kemudiannya akan membentuk satu entiti yang menyatukan kita semua sebagai sebuah bangsa Malaysia.

Suka saya menyeru kesemuanya, marilah sama-sama kita bersegera memisahkan diri dengan mereka yang meletak tembok bangsa ini. Kita sajalah yang mampu melakukannya, dan kita perlu melakukannya hari ini juga. Ia tidak boleh ditangguh-tangguh lagi.

Malaysia yang kaya dengan hasil bumi ini patut kita angkat semula sebagai sebuah bangsa yang bermaruah. Sebagai satu bangsa yang tidak dinilai dengan warna kulit dan jenis bangsa yang bukan dipilih oleh dirinya sendiri.

Ayuhlah kita membuang faham ini sejauhnya dan selamanya. Kerana arahan ini bukanlah datang dari mana-mana ahli politik atau menteri cool yang hanya hendak menjaga undi belia - ia sebenarnya telah datang lebih awal, dari Tuan empunya bumi dan seluruh alam ini.


NOR MISWARY RAMLI adalah pengerusi DAP cawangan USJ Subang Jaya. Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen