malaysiakini logo
story-image
ADS

Dengan nama Allah SWT Tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Adil.

Lingkaran Islam Tradisional (LIT), sebuah perkumpulan pengkaji dan peminat khazanah keilmuan serta kebudayaan Islam dan Nusantara, terpanggil untuk menyatakan bantahan terhadap penahanan Ustaz Wan Ji Wan Hussin bawah Akta Hasutan.

Dan menggesa agar akta ini dimansuhkan segera tanpa digantikan oleh sebarang akta yang kandungannya sama atau hampir sama mengekang kebebasan berpendapat.

Wan Ji adalah seorang lulusan yang faqih dalam bidangnya dan banyak terlibat dalam pengembangan pengetahuan Islam di Malaysia melalui penulisan dan juga kuliah-kuliah yang disampaikannya di banyak tempat.

Oleh yang demikian, sesuai dengan kelayakan dan ilmunya, sebarang rasa tidak setuju sentiasa boleh dihujahkan oleh mana-mana pihak yang berkehendak berbuat demikian.

 

LIT berpandangan dakwaan yang dikenakan kepada beliau bukan sahaja bercanggah dengan kebebasan asasi yang dijamin oleh perlembagaan, bahkan bercanggah dengan tuntutan Islam mengenai keadilan dan kebebasan serta kepentingan ilmu.

LIT dengan ini menggesa beliau dan juga semua yang ditahan di bawah Akta Hasutan dibebaskan dan Akta Hasutan segera dimansuhkan.

Akta Hasutan wajib dimansuhkan kerana ia bukan sahaja anti-ilmu, tetapi juga alat penindasan dan juga kezaliman.

 

Sesungguhnya Islam adalah agama yang membebaskan manusia daripada perhambaan sesama makhluk, menggalakkan manusia meneroka keluasan ilmu, mengajak manusia melawan kezaliman dan sekaligus menegakkan keadilan.


AFIQ MOHD NOR Penyelaras Lingkaran Islam Tradisional (LIT)

Lihat Komen