malaysiakini logo
story-image
ADS

Kami merujuk kepada laporan media berhubung pemecatan Presiden Kesatuan Pekerja Keretapi Tanah Melayu (RUM) Abdul Razak Abdul Hamid, dan lapan orang anggota yang lain serta penggantungan terhadap 15 orang manakala seramai 110 yang lain telah menerima notis tunjuk sebab.

Difahamkan ke semua mereka telah dikenakan tindakan hanya kerana menyertai piket anjuran RUM yang bertujuan menuntut penambaikan pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Piket merupakan suatu bentuk protes secara aman yang menjadi kelaziman kesatuan sekerja di seluruh dunia dalam usaha menzahirkan tuntutan mereka terhadap majikan dan ia selaras dengan konvensyen International Labour Organization (ILO) serta prinsip kebebasan bersuara yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Kami berpendirian tindakan pihak KTMB terhadap anggota RUM yang berpiket ini adalah tidak sah serta bercanggah dengan Seksyen 40, Akta Perhubungan Perusahaan 1967, yang menjamin hak kepada para pekerja untuk berpiket.

Justeru, AMK Cabang Batu menggesa Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot agar campur tangan dalam isu ini dan membela nasib pekerja-pekerja yang telah ditindas oleh pengurusan KTMB.

Pihak kerajaan tidak sewajarnya mengambil sikap berdiam diri dan bukan sekadar menjadikan slogan ‘Rakyat Didahulukan’ itu retorik politik semata-mata.


AHMAD AZRI ZAINAL NOR Ketua AMK Batu.

Lihat Komen