malaysiakini logo
story-image
ADS

Bulan suci Ramadan merupakan bulan muhasabah diri, bulan taubat dan bulan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Bulan inilah diturunkan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW dan sebagai umat Islam kita dituntut untuk memahami dan mantadabbur Al -Quran dengan penuh keimanan.

Adalah penting dalam kesempatan Ramadan ini agar kita dapat mengukuhkan keimanan terhadap Allah SWT agar kita memperoleh perlindungan dan petunjuk-Nya untuk saling bermaafan sesama manusia di atas pelbagai isu dan konflik yang telah berlaku.

Tahun ini merupakan tahun kesedihan dan ujian buat seluruh rakyat Malaysia.

Insiden nahas yang melanda pesawat MH370 dan MH17 serta musibah lain dalam tempoh masa yang singkat merupakan satu ujian untuk melihat sejauh mana kekuatan dan keimanan kita terhadap ketentuan Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, agar 155 yang bermaksud :

"Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan sesuatu; perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan hasil tanaman. Dan berikanlah khabar gembira kepada orang -orang yang sabar (menghadapi ujian itu)."

Dalam isu konflik rakyat Palestin, saya mendoakan agar pengeboman rakyat Palestin ini berakhir dan agar pemimpin OIC dan wilayah Arab dapat bertindak untuk menamatkan kekejaman dan kezaliman ini.

Saya percaya tiada agama yang menganjurkan kezaliman terhadap sesama manusia.

Saya menggesa agar Perdana Menteri, Najib Razak lebih agresif dalam menggesa OIC dan United Nation untuk mengambil langkah yang sewajarnya.

Najib harus berani dalam menyeru semua negara-negara Islam untuk bersatu menentang kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin.

Kasih dan kecintaan Allah SWT terhadap umat manusia adalah lebih agung daripada ketamakan dan kejahilan manusia yang memperjuangkan kezaliman atas nama agama.

Segala ujian dan tribulasi ini diharapkan dapat menjadikan kita Muslim dan insan yang lebih baik.

Bersama kita mengharapkan masa depan yang lebih baik dengan penuh keikhlasan dalam mengurangkan jurang perbezaan dengan kemaafan dan saling memahami antara satu sama lain.

Semoga Malaysia dilindungi Allah SWT. Selamat Hari Raya Aidilfitri, semoga kita diberi kesempatan untuk bertemu dengan Ramadan akan datang.


ZURAIDA KAMARUDIN ketua Wanita PKR.

Lihat Komen