malaysiakini logo
story-image
ADS

Saya ingin merujuk kepada serbuan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) terhadap 36 orang penganut Syiah Bohra di Mentakab Pahang pada awal pagi 20 Julai 2014.

Sebagai pengkaji yang banyak meneliti masyarakat Syiah di alam Melayu, saya ingin menyatakan di sini bahawa komuniti Syiah Bohra telah berada di rantau ini lebih dari seratus tahun.

Mereka berasal dari India dan dilahirkan sebagai penganut Syiah. Sepanjang pengamatan saya mereka tidak menyebarkan fahaman ini, tidak mengamalkan perkahwinan campur dan aktif dalam bidang perniagaan.

Oleh kerana itu adalah hampir pasti semua 36 individu yang disiasat ini adalah dari anggota sebuah keluarga yang besar.

Komuniti ini juga menjalinkan hubungan yang erat dengan autoriti dan komuniti Islam yang lain.

Malahan pada tahun 1979, almarhum Syedna Mohammad Burhanuddin Saheb, salah seorang ketua atau tokoh Syiah Bohra telah melawat dan menemui Bapa Kemerdekaan Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj.

Saya berpendapat pihak jabatan agama perlu lebih memahami pecahan-pecahan komuniti Syiah yang terdapat di alam Melayu ini sebelum bertindak.

Untuk tujuan itu, adalah lebih baik pelbagai komuniti Syiah yang ada ini didekati dan dibawa berdialog secara jujur dan ikhlas.

Adalah sangat dikesalkan komuniti Syiah Bohra yang sedang melakukan ritual dan ibadah sempena lailatul qadar mengalami gangguan seperti ini.

Lebih dikesalkan adalah gangguan kemerdekaan beragama ini dilakukan di saat negara sedang meratapi tragedi MH370 dan MH17 di samping memberi perhatian kepada insiden berdarah di Gaza, Palestin.

Siasatan Jabatan Agama Islam Pahang di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 adalah bertentangan dengan hak asasi manusia.

Akhir sekali, saya ingin merujuk isu Sunni-Syiah yang dibangkitkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam pada 10 Julai lalu.

Beliau berkata:

"Saya gunakan analogi mudah tentang orang Syiah dan Sunni ibarat kita berada atas landasan lebuh raya yang sama, destinasi sama, yang berbeza cuma kita dalam laluan lain... selagi kita tak tukar laluan untuk menolak orang lain sehingga berlaku kemalangan, maka kita akan sampai ke destinasi dengan selamat."

(Pautan: http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1052857 )

Dalam kesibukan umat Islam menggandakan ibadah di saat-saat akhir bulan Ramadan yang mulia ini, adalah diharapkan pihak berkuasa agama akan lebih rasional, dan bertindak sesuai dengan teguran perdana menteri tersebut.


DR MOHD FAIZAL MUSA warga Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Lihat Komen