malaysiakini logo
story-image
ADS

Februari adalah penting buat saya. Saya dan isteri dilahirkan pada bulan ini dan kami juga bertunang pada bulan ini. Dalam bulan ini juga nanti Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS) akan menyambut ulang tahun pertamanya selepas dirasmikan setahun lalu oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Tarikh ia dirasmikan, 8 Februari ialah tarikh kelahiran Bapa Kemerdekaan Negara, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.

Dalam sambutan ulang tahun pertama ini, satu forum akan diadakan dengan barisan panel terdiri daripada  Datuk Seri Idris Jala, Datuk Dr Zainal Aznam, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz dan saudara Wong King Chai dengan dipengerusikan sendiri oleh Pengarah Eksekutif IDEAS, saudara Wan Saiful Wan Jan.

Mereka akan membincangkan isu program transformasi ekonomi yang sedang mengambil tempat di negara kita dan kaitannya dengan visi Tunku Abdul Rahman serta kesannya kepada ekonomi bumiputera dan Melayu yang sering dijadikan persoalan penting dalam wacana politik-ekonomi negara.

Meskipun IDEAS akan menyambut ulang tahun pertamanya nanti, organisasi ini telah diwujudkan sejak beberapa tahun lalu dengan nama lain iaitu Malaysia Think Tank (MTT), London. Waktu itu ia beroperasi di United Kingdom (UK).

Organisasi ini diasaskan pada tahun 2006 oleh Wan Saiful Wan Jan, Tunku Abidin Muhriz dan Wan Mohd Firdaus Wan Mohd Fuaad di sana semasa mereka masih menuntut dan bekerja di sana.

Saya tidak begitu mengenali organisasi ini. Selepas tamat penggal menjadi perwakilan mahasiswa di Universiti Putra Malaysia (UPM), saya dan Wan Firdaus yang ketika itu menjadi pemimpin mahasiswa di UK bertemu dalam satu forum Politik Kampus anjuran mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada tahun 2005, organisasi ini masih belum diasaskan.

Pada tahun 2007, kami bertemu sekali dan saya diperkenalkan dengan organisasi ini. Mereka telah mula menganjurkan forum awam di Malaysia berkisar tentang buku Who Needs an Islamic State? (Edisi Kedua) karya Dr Abdelwahab El-Affendi, pemenang Anugerah Berita Muslim Allama Iqbal untuk Kreativiti Pemikiran Islam pada tahun 2006 yang menulis buku ini ketika berjawatan pensyarah kanan di Pusat Pengajian Demokrasi, Universiti Westminster, London serta penyelaras Program Demokrasi dan Islam di pusat tersebut.

Daripada pertemuan mereka dengan sejumlah pihak, saya mengatur temujanji dengan Wan Saiful dan tidak lama selepas itu mula membuat beberapa gerak kerja seperti mengendali beberapa siri seminar yang dinamakan Akademi Merdeka, membantu pengendalian forum di bawah Projek Memajukan Institusi Demokrasi (PADI), mengemaskini laman web dan juga surat berita (newsletter) bulanan, membantu penyediaan kajian ringkas pandangan dasar untuk diedar kepada semua Ahli Parlimen Malaysia serta menulis secara berkala di laman web MTT pada waktu itu – WauBebas.Org.

Menarik tentang MTT atau IDEAS ini bagi saya ialah kejelasan pembawaan baru dalam realiti persekitaran politik Malaysia yang berlangsung di Malaysia.

Organisasi ini mempunyai idea atau prinsip panduan (guiding ideas) yang jelas dinyatakan secara terbuka dan berani iaitu pasaran bebas, kerajaan terhad, kedaulatan undang-undang dan kemerdekaan individu.

Semua prinsip ini dikenali sebagai idea yang membentuk falsafah libertarianisme atau kapitalisme. Sebenarnya, idea dan prinsip ini menjelaskan apa yang sering menjadi pertanyaan ramai: “bagaimana penggerak organisasi boleh bersama sambil berbeza kecenderungan politik kepartian?”.

Ya, organisasi ini cukup menarik. Selain daripada mempunyai barisan penasihat rentas parti yang dilantik, kecenderungan politik kepartian penggeraknya juga berbeza. Wan Saiful sering menjelaskan bahawa beliau ialah ahli seumur hidup Parti Islam se-Malaysia (PAS), Wan Firdaus pula dikenali sebagai Pemuda Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) dan Tunku ‘Abidin pula seorang Kerabat Diraja Negri Sembilan.

Soalan yang sering muncul itu sebenarnya menjelaskan bagaimana sempitnya wacana politik digerakkan di Malaysia. Sekiranya pemimpin, ahli-ahli parti dan rakyat menerima bahawa perbezaan parti politik akan menjadikan “yang menang jadi arang, yang kalah jadi abu”, hasrat melihat masa depan negara yang lebih baik akan tergendala.

Masyarakat akan hidup bermusuh kerana mereka tidak diajar bahawa perbezaan pendapat adalah lumrah dan ia mesti ditangani dengan cara membincangkan idea dan bukan parti atau tokoh. Sekiranya kita terus berfikiran begini, pemimpin yang dipilih ke Parlimen hanya akan bercakap dan menyatakan sokongan berasaskan kepentingan parti dan bukan lagi kepentingan rakyat.

Ini adalah sesuatu yang buruk kerana sebagai manusia kita tidak mungkin berbeza dalam semua perkara tanpa ada perkara yang boleh kita persetujui bersama. Dengan menegaskan idea atau prinsip yang didokong oleh seseorang ahli politik atau parti yang membentuk kerajaan, rakyat akan mempunyai pilihan jelas dan tidak lagi bergantung kepada ehsan disebabkan hubungan politik atau peribadi.

Bagaimanapun, cabaran yang dihadapkan kepada IDEAS tidak terhad setakat isu kecenderungan politik kepartian. Idea dan prinsip yang didokong juga turut menjadi persoalan.

Sejak mula melakukan kerja-kerja awal MTT di Malaysia pada tahun 2008, saya sering dihadapkan dengan isu kesesuaian libertarianisme dan Islam. Ramai yang berpandangan ianya tidak cocok dengan Islam.

Meskipun fokus organisasi ini lebih banyak kepada isu ekonomi dan demokrasi, ia tidak dapat mengelak daripada menjawab keprihatinan yang sering muncul dalam wacana aktivis muslim, khususnya di Malaysia. Sambil tidak sedikit yang berpendapat prinsip dokongan IDEAS tidak cocok dengan Islam, saya berbeza pendapat tentangnya.

Kerana sering menunjukkan keprihatinan terhadap wacana agama, pernah saya ditanya seorang rakan: “bagaimana seorang yang sering bercakap isu agama seperti kau menyokong libertarianisme?”

Jawab saya: “mungkin kerana pengalaman hidup beragama aku berbeza. Aku aktif dalam Jemaah Tabligh berbanding pergerakan yang berurusan langsung dengan isu politik.

Dalam Tabligh, kami diajar untuk membelanjakan harta sendiri untuk maksud agama. Kami buat secara bebas dengan pilihan sendiri. Kami tidak dipaksa tetapi penekanan kepentingannya menjadikan kami rasa gembira dan puas dengan memberi.

Kami juga diajar bahawa setiap pemberian kami ini adalah untuk maksud agama dan mempunyai nilai untuk manfaat kami sendiri.

Dengan keyakinan kami akan kepentingan hidup beragama, kami menjaga diri sendiri daripada hal-hal yang kami terima sebagai larangan dan suruhan agama. Aku fikir ianya adalah pengalaman yang cukup mendewasakan.”

Sebenarnya, ramai aktivis muslim percaya bahawa kerajaan perlu masuk campur dalam banyak perkara untuk menegakkan agama. Sambil mereka berbelah bahagi mengenai isu campur tangan dalam hal ehwal ekonomi khususnya bantuan kepada golongan fakir miskin, isu besar dalam keprihatinan mereka ialah kemerdekaan individu.

Bukanlah satu perkara baru bila kebebasan disebut sempadannya sering ditanyakan. Mungkin menurut faham ramai seorang manusia yang bebas akan automatik berbuat jahat dan dosa. Saya menolak jenis pemikiran ini.

Saya berpandangan bahawa semua manusia umumnya sukakan kebaikan. Bagaimanapun, saya tidak menolak bahawa ada manusia berlaku sebaliknya. Sebab itu kedaulatan undang-undang penting dan ia mesti dibahaskan dengan mengambil kira isu ruang awam dan ruang peribadi.

Bukan semua perkara perlu digubal sebagai undang-undang dan sebahagiannya perlu diambil sebagai tanggungjawab bersama dalam masyarakat di peringkat individu, keluarga atau komuniti itu sendiri.

Meskipun libertarianisme selalu berbeza pendapat dengan pendokong aliran pemikiran sosialisme-komunisme yang percaya akan kepentingan kerajaan untuk masuk campur dalam urusan ekonomi khususnya berkaitan jurang kaya-miskin, dua aliran ini boleh bersetuju dalam hal kemerdekaan individu dan kedaulatan undang-undang.

Cabaran lain yang akan terus didepani IDEAS ialah untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka mesti mengambil semula tanggungjawab yang banyak diserahkan untuk diurus oleh kerajaan.

Kerajaan yang sering menguasai dan mengawal banyak perkara (sebagaimana lazimnya tingkah laku mana-mana ahli dan parti politik) perlu diyakinkan bahawa cara terbaik untuk mereka membantu rakyat ialah dengan menjamin kebebasan dan keadilan rakyat dengan cara memudahkan urusan pencarian rezeki sendiri serta memastikan penegakan dasar serta amalan yang adil tanpa rasa takut dan memilih.

Banyak tugas yang perlu dijalankan oleh ramai cerdik pandai di Malaysia khususnya. IDEAS tidak terkecuali untuk berperanan mendorong kepelbagaian wacana untuk membawa negara ke peringkat lebih tinggi. Idea-idea tentang kebebasan, keadilan dan persamaan akan terus dibincang dan dipertimbangkan untuk perlaksanaan dasar.

Dengan pengisytiharan oleh Pejabat Pusat Bangsa Bersatu di New York melalui satu kajian yang dibuat oleh Universiti Pennsylvania bahawa IDEAS merupakan organisasi pemikir baru yang ke-18 terbaik di dunia, saya mendoakan masa depan yang lebih baik untuk organisasi ini terus memberikan sisi pandang yang mungkin tidak dihitung dalam banyak wacana awam di Malaysia dan di peringkat antarabangsa – dengan bebas dan berani.


Amin Ahmad, 29 ialah Felo di Institut Hal Ehwal Demokrasi dan Ekonomi (IDEAS)