malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Tambang lebih murah melalui aplikasi 'kota rahsia'
Diterbitkan:  Jan 7, 2016 11:10 AM
Dikemaskini: 3:23 AM
ADS

Pengasas aplikasi carian penerbangan tambang murah Skiplagged, Aktarer Zaman, kini gembira kerana berjaya memenangi kes saman yang dikemukakan gergasi penerbangan United Airlines dan agensi pelancongan Orbitz.

Anak muda kelahiran New York itu dilaporkan berkata, beliau tidak membina aplikasi tersebut dengan sebarang niat buruk.

Sebaliknya, tujuannya hanyalah untuk memberi maklumat kepada pengembara untuk mendapatkan harga tambang yang berbaloi.

“Saya tidak melihatnya sebagai satu perkara yang buruk, sebaliknya ia menjadikan masyarakat mengembara dengan lebih cekap,” katanya seperti dipetik dalam laporan portal CNN.

Skiplagged menggunakan kaedah dipanggil “kota rahsia” untuk mencari penerbangan dengan destinasi persinggahan.

Pengembara akan mendapat tambang lebih murah sekiranya membeli tiket ke destinasi persinggahan sahaja dan bukannya ke destinasi akhir.

United dan Orbitz mengemukakan saman ke atas Skiplagged dengan mendakwa aplikasi tersebut mewujudkan “persaingan tidak adil” yang mempromosi penerbangan yang “terlarang”.

Kedua-dua syarikat tersebut memfailkan saman dan menuntut kerugian berjumlah AS$75,000. Aktarer, kini 23 tahun, merayu sumbangan RM10,000 daripada orang awam melalui kempen GoFundMe untuk membiayai kes mahkamah tersebut.

Beliau dilaporkan berjaya mengumpul AS$81,000. Saman berkenaan bagaimanapun ditolak oleh Mahkamah Amerika Syarikat pada pertengahan tahun lalu.

Menurut laporan, Zaman berkata beliau akan menyalurkan wang selebihnya itu kepada badan kebajikan yang berkaitan dengan pengembaraan.

Laman webnya kini dilaporkan menerima satu juta pengunjung setiap bulan dan aplikasinya juga merupakan salah satu daripada yang paling kerap dimuat turun oleh pengguna di Apple Store.

Lihat Komen