malaysiakini logo
story-image
ADS

HORIZON Saya selalu menyimpan keratan akhbar, tulisan dan gambar mengenai destinasi menarik. Hampir sembilan tahun saya menyimpan impian, akhirnya alhamdulillah, Disember 2014 yang lalu, setahun yang lalu impian tersebut berjaya saya jayakan.

Sejak zaman persekolahan lagi saya gemar menyimpan keratan akhbar tentang destinasi menarik, biasanya saya simpan dalam fail yang ada sisipan plastik warna jernih.

Saya simpan berkotak-kotak fail. Pada masa itu saya tidak berapa cukup modal untuk beli buku panduan pengembaraan seperti 'Lonely Planet' ataupun buku-buku lain, maklumlah masih sekolah, mana ada duit banyak sangat.

Selain tulisan mengenai pengembaraan, saya juga menyimpan keratan akhbar mengenai agama, kesihatan, tentang kamera, tentang fotografi, tentang sukan, tentang dunia IT dan lain-lain lagi.

Sebelum ini, saya tidak pernah tahu tentang jaringan keretapi trans-Siberia. Saya tidak tahu bahawa laluan Trans-Siberia adalah laluan keretapi paling panjang di dunia yang mana mengambil masa lebih kurang enam atau tujuh hari untuk melengkapkan perjalanan dari Moscow ke Vladivostok ataupun terus ke Beijing, China.

Bagi saya pengembaraan yang dilakukan oleh Anna Tang Hui Sim secara solo cukup mengagumkan saya, bukan satu perkara mudah untuk berkelana seorang diri ke Russia.

Pada masa itu, tahun 2005, Facebook masih baharu lagi, setelah dilancarkan pada Februari 2004, manakala Twitter pula bermula pada tahun 2006. Jadi tidak banyak maklumat tentang kisah-kisah pengembaraan yang kita ketahui secara umum.

Mungkin sudah ramai orang yang melakukan perjalanan hebat seperti Anna Tang Hui Sim waktu itu, tetapi tidak diketahui orang, hanya tersimpan di dalam catatan diari peribadi individu tertentu sahaja.

Apa yang ingin saya kongsikan melalui tulisan saya pada kali ini ialah, jangan sesekali menguburkan impian kita walaupun ianya mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan.

Impian saya untuk ke Nepal bermula semenjak zaman bujang lagi, sejak saya mula membaca majalah-majalah photography seperti Outdoor Photographer Magazine yang hampir setiap bulan saya beli masa saya bujang dahulu.

Pada masa itu, kos untuk penerbangan ke Nepal sahaja sudah mencecah hampir RM4,000, itu tidak termasuk kos penginapan serta makan minum di sana.

Pada masa tu AirAsia dan MAS pula belum lagi mengadakan penerbangan terus ke Nepal. Pilihan yang ada waktu itu hanya melaui Royal Nepal Airlines, Thai Airways dan juga Singapore Airlines.

Kebanyakannya menawarkan kos tambang lebih kurang RM3,000 dan ke atas untuk perjalanan pergi balik. Pada 15 tahun yang lalu, tambang RM3,000 itu dikira sangat mahal.

Jadi, kalau hendak ke Nepal, perlukan sekurang-kurangnya RM4,000 atau RM5,000 untuk menampung semua kos, agak tinggi untuk orang yang baru mula bekerja seperti saya pada masa itu.

Nasihat saya, kalau kita ingin melihat negara luar sejak zaman remaja atau di bangku sekolah, jangan biarkan ia tinggal menjadi impian.

Selagi kita masih bernyawa, tiada orang yang dapat menguburkan impiant tersebut kecuali diri kita sendiri. Bila sudah berkeluarga, sudah punya anak-anak, semakin terbeban dengan banyak perkara tetapi jangan kita mengalah dengan segalanya.

Keutamaan hidup saya adalah untuk keluar kembara melihat negara luar, bukannya mengumpul sebanyak-banyak harta yang akan saya tinggalkan bila sampai masa nanti.

Ada orang kata, kumpul dulu duit dan harta, kemudian barulah keluar mengembara. Saya tidak berani mengambil risiko tersebut.

Apa yang kita belajar dari tragedi pesawat terhempas? Tuhan tidak hanya menjemput kita pulang bila usia kita lewat senja, bila-bila masa pun kita boleh dijemput pulang.

Ketika saya sudah tua, mungkin wang semakin banyak dan anak-anak sudah berjaya. Insya-Allah, mungkin saya ada banyak masa untuk mengembara tetapi saya tidak berani mengambil risiko itu.

Pada waktu sekarang, saya ada sedikit masa, dan sedikit wang. Ramai rakan sepejabat yang sudah sakit sana sini sementara menunggu waktu pencen. Ada yang telah pergi sebelum pencen lagi.

Ada pula yang banyak harta sana-sini, rumah sewa sana-sini, kereta tiga, empat buah, tapi malangnya tubuh badan mereka pula tidak sihat. Semua itu menakutkan saya.

Tetapi seperti yang saya tulis tadi, semuanya bergantung pada keutamaan kita dalam hidup. Ramai di kalangan pengembara tegar yang sanggup berkorban apa yang ada.

Ada yang mengumpul wang bertahun-tahun setelah bekerja dan akhirnya berhenti kerja dan gunakan wang simpanan tersebut untuk mengembara berbulan-bulan atau bertahun-tahun.

Ada yang menjual rumah, kereta, apa saja yang boleh dijual, ada yang memilih untuk tidak berkahwin, ada yang memilih untuk melakukan kerja kemanusian di seluruh dunia, asalkan mereka dapat keluar mengembara.

Ada yang memilih untuk kembara dengan menaiki basikal, da juga yang memilih untuk menumpang kenderaan dan bermacam-macam lagi asalkan tercapai hajat di hati.

Semenjak kecil lagi cita-cita terbesar saya ialah untuk keluar mengembara melihat dunia, dan itu juga salah satu sebab saya memilih fotografi sebagai kerjaya. Saya bosan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin mengadap komputer berhari-hari sehingga pencen.

Kalau boleh, moga diizinkan Tuhan, insyaAllah, saya ingin jelajahi setiap inci ataupun setiap negara di dunia ini sebelum menutup mata. Tuhan jadikan kita manusia ini bersuku-suku dan berbangsa-bangsa supaya saling kenal-mengenal sesama kita, sesama makhkuk ciptaan Allah walaupun berbeza agama, budaya, warna kulit dan bahasa yang berbeza.

Rugi rasanya kita tidak cuba untuk merasai bagaimana berada di negara empat musim, bagimana musim panas di Eropah, bagaimana rasanya musim sejuk di Siberia dan bagaimana indahnya musim luruh di Korea.

Jangan tinggalkan impian hanya impian, jadikan ia satu kenyataan selagi nyawa masih di badan, insya-Allah.

[Baca selanjutnya dalam blog Wazari Wazir ]


WAZARI WAZIR seorang jurugambar profesional. Kerjayanya membolehkan beliau melawat pelbagai negara.

Lihat Komen