malaysiakini logo
story-image
ADS

TRAVELOG Tengahari beransur petang, aku dan Haeri keluar bersiar-siar di bandar untuk melihat suasana hujung minggu.

Hari Ahad adalah hari tanpa kenderaan di Jakarta. Ternyata memang tiada kenderaan langsung di jalan raya. Jakarta memang terasa lengang, tidak seperti hari lain yang penuh sesak dengan kenderaan pelbagai jenis.

Kami tiada apa-apa rancangan untuk hari itu selain ke stesen kereta api untuk membeli tiket ke Bandung.

Di kota Jakarta terdapat empat stesen kereta api utama iaitu Gambir, Jatinegara, Manggarai dan Pasar Senen. Menurut Tom, tuan punya hostel, tiket kereta api perlu dibeli lebih awal kerana cepat habis.

Di sini juga ada ulat tiket yang membeli tiket dengan banyak dan menjualnya semula dengan harga mahal. Tom menawarkan untuk membantu membeli tiket namun kami memilih untuk membeli sendiri untuk merasa pengalaman seperti orang tempatan,

Kami menaiki busway untuk ke stesen Monumen Nasional atau Monas. Perkhidmatan pengangkutan awam berjalan seperti biasa. Fikiranku juga terasa nyaman saja. Cuaca cerah tidak hujan seperti hari sebelumnya.

Ramai juga warga tempatan yang mengambil kesempatan berbasikal beramai-ramai di tengah-tengah jalan raya . Bebas seperti helang di langit. Kanak-kanak berkejaran sesama mereka di atas jalan.

Ada yang tergolek-golek, dan memanjat papan tanda tepi jalan dan bermacam gaya lagi. Di samping itu ada juga pameran patung-patung aneh tepi jalan.

Setibanya stesen Monas, suasananya sedikit sesak. Pelanggan beratur dalam empat barisan untuk berurusan dengan seorang petugas di hadapan kaunter yang dilabel “Loket”. Aku menganggap, “Loket” adalah kata untuk “kaunter” dalam Bahasa Indonesia.

Paparan skrin di atas kaunter menunjukkan tiket perjalanan ke Bandung untuk keesokan harinya, 16 Disember masih dijual.

Kesemua pelanggan yang beratur memegang sekeping kertas. Rupa-rupanya, perlu mengisi borang terlebih dahulu, lebih rumit berbanding menaiki kereta api antara bandar di Malaysia.

Aku mencuri-curi melihat borang pelanggan di sebelahku. Nombor pasport juga diminta. Setelah kira-kira 10 minit beratur barulah kami tiba di kaunter.

Tiket kelas bisnes berharga Rp70,000 seorang manakala kelas ekonomi berharga Rp50,000. Kami memilih tiket ekonomi kerana kami di sini akan cuba berjimat seboleh mungkin.

Di Indonesia, kereta api dipanggil kereta dan kereta dipanggil mobil. Kadang-kadang tercengang juga bila berbual dengan orang tempatan, ada kalanya kami diketawakan. Tapi itu perkara biasa bila ada pertembungan budaya.

Tiket kereta api menunjukkan waktu perjalanan pukul 3.55 pm keesokan harinya. Seterusnya kami bersiar-siar ke kawasan Monas. Suasananya seperti di Dataran Merdeka pada hujung minggu.

Terdapat peniaga yang menjaja cenderahati dan pakaian. Ada juga yang membawa kuda padi yang dihias seperti untuk menyertai pertandingan ratu cantik.

Monumen itu berbentuk seperti menara itu merupakan bangunan tertinggi di Jakarta. Rupanya seakan-akan monumen di Memorial Park Washington dan Menara KL.

Tiket bagi orang dewasa adalah Rp5,000 dan kanak-kanak Rp2,000. Pengunjung yang naik ke puncaknya boleh lihat seluruh kota Jakarta.

Di ruangan bawahnya ada ditayangkan ucapan presiden pertama Indonesia, Soekarno mengenai kemerdekaan negara Indonesia.

Malangnya, ketika kunjungan kami, lif sedang diselenggarakan dan pengunjung tidak dapat naik ke atas. Kami hanya duduk saja sambil minum – namanya air teh botol tetapi dalam bungkusan kotak.

Sedang kami melepak-lepak, kami didekati seorang warga tempatan yang menawarkan pakej ke Taman Mini Indonesia. Letaknya satu jam perjalanan dari Monas. Ada kereta kabel untuk melihat seluruh kawasan taman mini tersebut.

Pakej yang ditawarkan mas itu adalah Rp150,000 seorang dengan pakej makanan, serta pengangkutan pergi dan pulang.

Katanya, Taman Mini Indonesia itu menunjukkan kesemua seni dan kebudayaan yang wujud dan lahir di Indonesia, dari barat hingga ke timur.

Ibaratnya, jika pergi ke Taman Mini Indonesia itu seakan-akan sudah selesai menjelajah Indonesia. Bunyinya menarik namun kami menolaknya sambil menghirup teh botol dalam kotak dan merokok.

Bukan apa, kami mahu berjimat dan tidak mahu tahu segala macam perkara mengenai Indonesia buat masa ini. Kami masih ingin berasa teruja.


AHMAD FAUZAN AZAM seorang punk rocker. Selain menulis untuk zine Dead Sick Society bersama seorang teman, beliau turut menulis certot untuk Charity Zine terbitan Marhaen Litera.

Anak muda ini juga merupakan salah seorang penulis dalam zine LRT dan antologi cerpen 10 Orang Gila keluaran Cukong Press. Impiannya hanya untuk melihat dunia ini lebih aman didiami.

Buku 'Travelog Faghuzi'

Kembara dua orang anak muda ini ke Indonesia mengajar mereka makna hidup.

Mereka melihat kemanusiaan yang dicarik-carik oleh kemiskinan dan penindasan.

Sisi yang terselindung di sebalik keindahan negara ini mengubah perspektif mereka tentang kehidupan.

Untuk pesanan, hubungi Rabak-Lit: Facebook , Twitter , Instagram

Rabak-Lit diusahakan oleh kolektif seni Projek Rabak .

Lihat Komen