malaysiakini logo
story-image
ADS

TRAVELOG Kami sampai di khemah Abu Abdullah sekitar jam 9 seingat aku. Van milik sekolah Tangisan Syria di Bumi Jordan (TSDBJ) ini berbunyi keriak-keriuk tatkala keluar dari jalan bertar dan masuk kawasan padang pasir.

Van ini dibeli secara tunai oleh TSDBJ untuk tujuan mengangkut anak-anak Syria ke sekolah TSDBJ di pekan Mafraq. Sehingga kini, anak-anak Syria yang didaftarkan di sekolah ini mencecah 305 orang.

“Berapa agaknya kehadiran anak-anak setiap hari ke sekolah?,” aku bersuara sambil membuka pintu van. Aku menghirup udara sejuk padang pasir

“Kehadiran hari-hari dalam 250 orang saja,” jawab Bai. Bai, lelaki separuh Ustaz dengan beg selimpang di hadapannya ialah orang kanan Musa.

Musa turun sambil menggeliat. Di hadapan kami keluar Abu Abdullah.

“Cikgu sekarang berapa semuanya?,” soalku lagi.

Musa menurunkan besen yang penuh dengan ayam yang telah siap diperap. “Guru tujuh orang sekarang,” katanya. Besen itu disambut oleh Shah.

Anak-anak Abu Abdullah, Abdul Rahman dan Abdullah kini menghampiri kami untuk bersalaman.

“Belanja sebulan 5000JD termasuk gaji guru, makanan, pengangkutan dan gaji pemandu van,” sambung Musa.

Aku bersalaman dengan Abdul Rahman yang berusia 10 tahun dan Abdullah, 14 tahun sebelum mereka mengambil semua besen, gril BBQ serta arangan dari belakang van untuk dibawa ke hadapan khemah.

Suasana agak sejuk walaupun kini penghujung Mac. Aku yang hanya berjaket nipis terpaksa bergerak masuk ke dalam khemah.

Di dalam khemah, terdapat dua orang lagi rakan Abu Abdullah sedang menonton televisyen. Dengar khabarnya, daripada air bersih sehinggalah elektrik – semuanya dibiayai oleh pergerakan Musa.

Aku mula kenal dengan anak muda kecil ini pada hujung 2013. Ketika itu aku datang dari Irbid ke Mafraq untuk melihat sekolah yang baru dibinanya untuk anak-anak Syria, sebagai sebahagian dari kajian untuk membuka sekolah anak-anak Syria kendalian TFTN di Irbid nanti.

Di dalam khemah, Yousef, 5 tahun, Ahad, 4 tahun serta Karim atau yang dipanggil Qurayyim oleh semua orang, 3 tahun, keluar dan bersalaman dengan kami semua.

Aku dan Ishak bergerak dari Irbid petang tadi menaiki bas. Kami sampai sekitar jam 6.30 petang. Itupun suasana di sini dah gelap sepertinya jam 9 malam di Kuala Lumpur.

Kami berbual ringkas sebelum dihidangkan air teh panas oleh Abu Abdullah. Beliau sedia maklum bahawa kami mahu bermalam di khemahnya pada malam itu dan mengalu-alukan kami.

Sebenarnya yang berbual cuma Musa, Shah, Bai atau Ishak dengan Abu Abdullah dan rakan-rakannya. Sebab aku mana tahu bahasa Arab pun nak berbual. Sama ada aku angguk, senyum atau geleng. Itu sahajalah yang aku tahu.

Kami kemudiannya keluar untuk menyalakan api. Qurayyim paling teruja sekali nampaknya. Dia berlari ke sana ke mari seolah-olah tidak mempedulikan negaranya kini yang sedang berperang.

Aku tersenyum memerhatikan anak kecil ini berlari dan bermain bersama abangnya, Abdul Rahman, sambil sekali-sekala dihalangi oleh abangnya yang lebih besar iaitu Abdullah.

Perwatakan Abdullah lebih menarik. Tidak banyak bicara, anak ini kelihatan tegas dan serius. Jarang sekali tersenyum, dia lebih banyak memerhati. Aku tertarik melihatnya yang kelihatan sangat bertanggungjawab.

Di satu ketika dia sibuk mengangkat barangan keluar dari van, di ketika yang lain dia sibuk memarahi adik-beradiknya bermain dan kini, dia sibuk membantu Bai dan Shah menyalakan api untuk memanggang.

Perang tercetus tatkala dia berumur 10 tahun. Entah apa yang sudah dilihatnya, entah bagaimana emosinya menangani perasaan mahu bermain, atau mahu belajar tatkala anak lain seumurnya pergi sekolah – manakala dia pula terpaksa lari dari negaranya sendiri dalam keadaan sehelai sepinggang.

Aku bergerak menghampiri Musa yang sedang bertenggek di tepi pemanggang sambil memerhatikan Abdul Rahman bermain tarik-tarik dengan Qurayyim. Aku turun untuk menenggek di sebelahnya dan menyinggulnya, “Kenapa kau buat semua ini, Musa?”

Musa berpaling ke arahku sambil tersenyum, dan kembali melirik matanya ke hadapan.

[Bersambung dalam bahagian seterusnya]


ZF ZAMIR penulis buku popular ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang'.

Tulisan ini adalah sedutan dari buku 'Berlari dari Jogja untuk menemukan si dia di Christiana', karya keempat beliau yang diterbitkan Thukul Cetak.

Sedutan terdahulu: 'Hisap ganja tak boleh, minum arak boleh'

Pesanan

Alamat: Thukul Cetak, GARAJ, 9-1A, Jln 15/1A, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi (Waze Garaj Thukul)

WhatsApp/SMS: +601114719583 (Fakhrul)

Media sosial Thukul Cetak: Facebook / Twitter / Instagram

Lihat Komen