malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Dulu boria boleh ‘camdek’, sekarang sudah hilang roh
ADS

Penggiat seni dan budaya tanah air bersetuju bahawa sekatan dan tapisan yang dikenakan terhadap karya seni dan penulisan menyebabkan sesuatu karya itu menjadi bosan dan lesu.

Memberi respons kepada ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, pengasas Akademi Boria Pulau Pinang Jibran Khalil berkata penggiat seni sering merasa terbatas dan terkekang ketika menghasilkan karya dan persembahan akibat pelbagai syarat dan dikenakan.

Dia yang bergiat aktif dalam seni teater tradisional boria sejak 1980 mendakwa selepas era 90-an walaupun terdapat persembahan dan karya seni yang membawa elemen isu semasa tetapi ia kurang kritis akibat terlampau berjaga-jaga.

"Persembahan boria ini dulunya adalah platform yang digunakan bagi meluahkan masalah rakyat. Bahkan, sebelum merdeka, Boria turut digunakan untuk menentang Malayan Union.

"Apa saja (isu) yang tidak betul, kita akan suarakan untuk rakyat tetapi sekarang lebih kepada puji-memuji dan takut-takut," katanya yang juga ketua Kumpulan Boria Wawasan di Pulau Pinang.

Jibran Khalil

Tambah Jibran lagi, rangkap karangan dalam Boria - contoh yang digunakan Anwar - lebih 'direct' dan sketsa yang selalunya dibawa pada awal persembahan menampilkan kisah yang membawa mesej rakyat kepada kerajaan.

Katanya, kebiasaan sebelum persembahan penganjur akan berpesan - tidak boleh membawa lagu yang mengkritik kerajaan.

"Walaupun dari segi keaslian persembahan masih ada tapi dari segi penyampaian, isi dan mesejnya tersekat, terkekang kerana pelbagai pihak terutama politik. Persembahan Boria ini sekarang lebih berbentuk 'storytelling' (bercerita) semata-mata.

"Dulu boria boleh 'camdek' (sinis atau sindir) tapi sekarang sudah hilang roh, rasa terkongkong dan tak bebas," kata Jibran.

Baru-baru ini, Anwar berkata Malaysia merupakan sebuah negara merdeka dan bukannya dijajah sehingga ada sekatan atau rasa terkongkong untuk mana-mana pihak menghasilkan karya mereka.

Justeru, menurutnya, perlu wujud suasana yang bebas untuk penggiat seni berfikir dan berkarya termasuklah kebebasan untuk melakukan kritikan politik, mencurah idea kepada masyarakat serta berbicara perihal sejarah.

Anwar mengambil contoh boria Pulau Pinang yang dahulunya dipersembahkan dengan alunan muzik segar diiringi pengisian mesej yang sangat kritis menyentuh aspek masyarakat, budaya termasuk pemimpin politik.

“Namun sebaik sahaja boria itu dijadikan corong budaya yang terbatas, corong propaganda, ia membosankan, tak lagi dapat menghasilkan boria tradisional yang sangat indah dan semula jadi yang diterima baik pendengar,” katanya.

Kritikan membina

Sementara itu, Veera Masura dari Persatuan Sekenet Pulau Pinang berkata kritikan yang bersifat positif dapat membantu dalam membina hala tuju negara.

Penghasilan karya yang bermutu dan kritis mampu memberi kefahaman ke atas kelemahan atau pengabaian dalam sesuatu organisasi kerajaan.

"Sepatutnya memang begitu, kebebasan berkarya tidak harus disekat tapi kita memang 'dipupuk' untuk tidak boleh beri teguran dalam sketsa atau karangan (rangkap lagu dan sketsa) kepada kerajaan walaupun kesalahan itu benar.

"Pengkarya sekarang lebih bijak membuat karangan boria lebih puitis. Lembut bermadah tapi tajam ditelinga," katanya lagi.

Seorang lagi penggiat seni, Yakob Mohamed dari Kumpulan Boria Hospital Pulau Pinang pula menganggap perkara itu seharusnya bermula di peringkat sekolah dengan lebih banyak ruang berkarya diberikan dengan sewajarnya.

"Seni boria mula rosak dan tidak diminati kerana peranan dimainkan pihak kementerian kesenian yang lebih mengutamakan kumpulan penari jabatan.

"Dulu (artis) boria dijemput membuat persembahan pada majlis pembukaan rasmi tapi tidak lagi sekarang," katanya lagi.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka menyambut baik saranan perdana menteri itu dan berharap agar seni persembahan boria dapat diangkat ke peringkat lebih tinggi.

Lihat Komen