malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Zul Ariffin: Penting hitam putih jadi rakan kongsi
ADS

Pelakon Zul Ariffin menyarankan agar rakan artis tidak mudah gelap mata dengan tawaran lumayan sebaliknya berhati-hati sebelum mengikat kontrak dengan mana-mana syarikat.

Berdasarkan pengalaman sendiri, Zul selaku duta dan rakan kongsi mendakwa pernah gagal mendapat bayaran walau satu sen pun hasil keuntungan jualan sebuah jenama pakaian.

Kini dia mengambil tindakan undang-undang ke atas syarikat terbabit berdasarkan kontrak diguna pakai.

“Jika seseorang artis hendak berkolaborasi seperti menggunakan nama X dan X, berhati-hatilah. Hitam putih adalah penting, kalau setakat atas air liur saja jangan percaya. Sebab hitam putih itu jugalah yang boleh bantu saya upah peguam dan failkan ke mahkamah.

“Habislah kalau tidak ada (dokumen), jumlah kerugian dialami dianggarkan bukan setakat RM10,000 atau RM20,000 tapi memakan hingga ratusan ribu,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui dalam sebuah majlis baru-baru ini.

Mengikut perjanjian, kontrak ditandatangani Zul atau nama penuhnya Zulkifli Ariffin, 30, bermula dari Mac dan tamat pada November tahun lalu.

Walaupun tidak melaburkan wang sendiri,  Zul mengakui kecewa kerana sudah memberikan 101 peratus komitmen untuk mempromosi perniagaan berkenaan.  

Namun sejak kontrak tamat, rakan perniagaannya yang juga seorang peguam syariah didakwa hanya berdiam diri.

Demi masa depan

Menurut pelakon J Revolusi itu, perkara berkenaan sudah diserahkan kepada peguamnya untuk diambil tindakan.

Namun sejak kejadian itu, dia bimbang untuk menerima mana-mana tawaran seumpama itu dalam masa terdekat.

Sementara itu, Zul berkata usaha seseorang artis mencari pendapatan sampingan seharusnya tidak dipandang remeh memandangkan  golongan itu tidak akan mengecapi populariti selama-lamanya.

Menurutnya, adalah satu perkembangan memberangsangkan apabila selebriti kini mula menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan fenomena positif itu dilihat mampu menjamin masa depan.

“Berbanding dulu, sekarang semakin ramai selebriti menjalankan perniagaan terutama menjelang umur yang semakin lanjut.

“Kita sebelum ini selalu mendengar banyak kisah artis veteran memerlukan sumbangan apabila mereka dimasukkan ke hospital.

"Saya berharap generasi muda masa kini boleh mengelak nasib sebegitu,” katanya.

Lihat Komen