malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tawau Got Talent lahir kerana perasaan 'geram'
ADS

Walaupun jauh dari ibu kota atau bandar raya, penduduk di sekitar Tawau, Sabah, yang teringin menjadi penghibur bolehlah menunjukkan bakat masing-masing melalui pertandingan Tawau Got Talent.

Walaupun di Tawau sana, ia bukanlah program realiti yang biasa-biasa, terutama apabila melihat kepada nilai hadiah yang ditawarkan.

Menurut penganjur Tawau Got Talent, Datuk Seri Mohammad Jefry Rosman, walaupun masih baru tetapi pihaknya cuba sedaya upaya untuk meninggalkan kesan yang mendalam di hati penonton.

“Kami menawarkan hadiah tinggi - lebih kurang sama dengan program realiti lain - supaya peserta Tawau Got Talent tidak malu malah berusaha sehabis baik untuk mencapai impian mereka," katanya.

Apa yang dimaksudkan Mohammad Jefry ialah ini: untuk juara mereka menyediakan wang bernilai RM50,000 serta hadiah sampingan lain.

Jumlah hadiah keseluruhan Tawau Got Talent pula dianggarkan boleh mencecah sehingga RM100,000.

Di samping itu, kata Mohammad Jefry, pemenang turut diberikan kontrak lima tahun untuk membolehkan mereka dilatih serta membantu mereka menentukan hala tuju selepas itu.

Sanggup bergadai, berhutang

Katanya, Tawau Got Talent diyakini boleh menjadi jawapan kepada penduduk di sekitar Tawau yang mengejar impian menjadi anak seni tetapi berdepan kekangan kewangan untuk menghadiri uji bakat yang biasanya diadakan di bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

Katanya, dia terpanggil untuk menganjurkan program seperti itu kerana 'geram' apabila ada bakat setempat sering mengadu tidak cukup wang apabila perlu menghadiri sesuatu uji bakat di tempat jauh.

“Kini anak muda di Tawau boleh membuktikan bakat seni mereka tidak kurang hebatnya dengan orang di tempat lain.

"Sebenarnya mereka berbakat tetapi tiada peluang untuk menonjol.

"Kalau mahu mencuba nasib, ada antara mereka sanggup bersusah-payah meminjam duit atau menggadai barang berharga untuk dijadikan modal," katanya.

Kalau hendak menghadiri sesi uji bakat di Kuala Lumpur, katanya, ia tentu menelan belanja yang besar. Untuk tiket saja, ia memerlukan sekurang-kurang RM200.

“Kalau sesuatu sesi diadakan di Kota Kinabalu pula jaraknya lebih 900 kilometer dan mengambil tempoh 10 jam dengan menaiki bas,” katanya.

Mohammad Jefry ditemui pada majlis berbuka puasa dan sidang media memperkenalkan Tawau Got Talent di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada masa sama, Mohammad Jefry menafikan pandangan Tawau Got Talent diadakan untuk meniru program realiti yang pernah ada.

“Walaupun penggunaan kata nama Tawau Got Talent mirip Asian Got Talent atau British Got Talent, kami tidak tiru.

“Kami cuma garapkan segmen berkenaan dan gabung dengan beberapa program pernah dihasilkan penerbit tempatan,” katanya.

Seramai 30 peserta sudah melayakkan diri dalam sesi uji bakat. Sehubungan itu, suatu konsert mini sempena Aidilfitri akan diadakan pada 8 Julai ini, disusuli konsert prelude pada 15 Julai.

Program yang pertama seumpamanya di Sabah itu tidak mengehadkan penyertaan kepada mereka yang berbakat menyanyi, malah terbuka buat sesiapa yang berbakat kreatif seperti penari, pemuzik, ahli silap mata dan sebagainya.

Peserta akan dilatih oleh tenaga pengajar profesional seperti Eddie Hamid, Pak Ngah, Awang BPR dan ramai lagi.

Lihat Komen