malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Sahara terkilan beraya di rumah baru tanpa ibu
ADS

Suatu ketika dahulu Sahara Yaacob pernah dilapor hidup melarat sehingga memaksa penyanyi seksi dan bersuara rock itu menghuni sebuah bilik serba daif.

Tetapi, selepas kesusahan hidupnya mendapat perhatian umum dan penggiat seni tanah air, kehidupan Sahara mula berubah hari demi hari.

Episod duka dalam hidup Sahara juga semakin berakhir apabila dia ditawarkan berpindah ke rumah baru di Pangsapuri Perumahan Rakyat (PPR) Sri Alam di Sungai Besi, Ogos lalu.

Meskipun begitu, Sahara mengakui rindu setiap kali mengenangkan arwah ibunya, lebih-lebih lagi ketika menyambut ketibaan Syawal.

Rasa terkilan juga jelas terpancar di wajah penyanyi berusia 61 tahun itu kerana tidak sempat membawa ibunya tinggal bersama di rumah baru mereka.

Ibu Sahara, Umi Kalsom Mohd Nusi, meninggal dunia kira-kira 6 tahun lalu.

"Kalau tahun ini mak masih ada, pasti dia gembira kerana berpeluang untuk beraya di rumah baru bersama-sama.

“Mesti mak akan berasa selesa dan pulih lebih cepat, boleh berjalan dan tidak terperuk seperti di rumah lama,” katanya.

Sahara atau nama sebenarnya Zaharah Mohd Yaacob ditemui pada majlis iftar bersama artis veteran dan anak yatim anjuran Ritz Guarana Plantation Holdings Berhad di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Malaysiakini pernah menyiarkan kisah kesusahan hidup penyanyi yang pernah mendapat julukan Tina Turner Malaysia itu.

Berkongsi lanjut mengenai sambutan Aidilfitri tahun, Sahara berkata selepas 10 tahun menyepikan diri dari industri hiburan, perayaan kali ini mungkin memberikan sedikit kelainan.

“Insha Allah perayaan kali ini akan lebih meriah apabila saya sudah mulai berhubung semula dengan rakan-rakan seperjuangan.

“Berbanding dulu, sememangnya saya tidak mahu media atau rakan mencari-cari kerana saya tidak mahu menyusahkan mereka.

“Tetapi alhamdulillah, selepas kisah hidup saya diketahui umum, ramai yang tampil menghulur bantuan dan saya amat bersyukur kerana masih ada yang sayang,” katanya.

Lihat Komen