malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Di Bangkok PTVM nampak ada peluang
ADS

Usaha delegasi Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) mengunjungi dua stesen penyiaran di Thailand bagi meneroka pasaran antarabangsa dilihat boleh membawa kesan positif.

Sebagai permulaan, kata Presiden PTVM Datuk Jurey Latif Rosli, ahli persatuan itu mendapat pendedahan menerusi ‘salam perkenalan’ sebaik melangkah ke dua bangunan tempat siaran di negara Gajah Putih itu.

“Kami tidak meletak sasaran untuk berjaya memeterai perniagaan terus melalui kunjungan ini, sebaliknya ia lebih kepada sesi suai kenal.

“Sebelum memasarkan atau mencari peluang menjalinkan kerjasama dengan sesebuah pihak, terlebih dahulu kita perlu mengenal pasti perniagaan mereka.

“Paling penting buat kami adalah untuk melihat secara dekat industri penyiaran di Thailand serta saling bertukar-tukar pendapat,” katanya kepada Malaysiakini di Bangkok, Thailand.

Jurey bersama PTVM baru-baru ini sempat berkunjung ke stesen penyiaran Thairath TV dan Yateem TV.

Persatuan itu dianggotai daripada kalangan penerbit program televisyen seperti drama, dokumentari, animasi, komersial dan juga telefilem.

Mengikut perancangan seterusnya, Jurey berkata, mereka berminat untuk mencapai kata sepakat bersama Yateem TV kerana melihat badan penyiar itu sebagai prospek menguntungkan kedua-dua negara.

“Banyak perkara kita boleh buat susulan selepas ini, antaranya urusan perniagaan program berbentuk Islamik antara Salam HD - oleh pembekal rancangan Datuk Zaidah Awang atau A Aida - dengan Yateem TV.

“Yateem TV juga menunjukkan minat terhadap rancangan berbentuk kembara atau dokumentari seperti masjid ke masjid ke seluruh dunia selain tertarik dengan aktiviti produk hab halal kita.

“Kedua-dua program ini saya dapati boleh pergi jauh, ini bermakna ada peluang untuk kita pasarkan kandungan ke peringkat Asia Tenggara,” katanya.

Yateem TV adalah sebuah televisyen penyiar berbahasa Thailand yang menyiarkan program keagamaan.

Guna CGI pun menarik

Paling menarik mengenai Yateem TV adalah, badan itu menjalankan operasi menggunakan sumbangan dikumpul daripada orang ramai dan kemudian menyalurkannya untuk membantu anak yatim di Bangkok.

Walaupun stesen berkenaan tidak sebesar yang lain di Bangkok, ia membuktikan tanpa penggunaan teknologi gah mereka masih mampu bertahan.

“Yateem TV menjalankan operasi secara maksimum dan dapat bersiaran hingga ke serata dunia.

“Mereka tidak mengambil kira penggunaan teknologi tetapi lebih kepada apa yang dihasilkan agar menarik minat orang ramai untuk memberi sumbangan kepada anak yatim,” katanya yang yakin jurang bahasa bukanlah satu daripada masalah besar untuk menjalinkan kerjasama itu.

Sementara itu, bercakap mengenai Thairath TV, Jurey berpendapat Thailand negara jiran paling pesat dalam membangunkan imej janaan komputer (CGI).

Katanya, pendekatan CGI dalam program berita televisyen Thairath TV misalnya begitu menarik perhatian dan diharapkan dapat dijadikan rujukan penerbit tempatan.

“Thairath TV bijak menjadikan segmen berita lebih menarik, berinformatif dan berkesan kepada penonton kerana pembikinan CGI di sana murah.

“Selalu kita lihat kesan CGI dalam filem saja. Mungkin penerbit di Malaysia boleh menerapkan hasil kandungan yang ada nilai tambah seperti itu untuk drama dan berita.

“Saya lihat persembahan ini membantu menghasilkan kandungan berkualiti dengan kupasan grafik walaupun yang disiarkan hanyalah berita saja,” katanya.

Thairath TV popular dengan segmen berita dan rancangan terbitan lain menggunakan CGI sejak 2014.

Stesen itu juga disiarkan dalam bentuk definisi tinggi (HD) dan menjadi satu daripada enam saluran seumpama itu yang beroperasi di Thailand sejak tiga tahun lalu.

Secara keseluruhan, Jurey beranggapan, kunjungan ke Bangkok itu dapat membuka luas pandangan PTVM.

Katanya, untuk itu, Jurey berharap agar penerbit tempatan mampu menghasilkan kandungan yang mempunyai kualiti boleh dipasarkan di pasaran antarabangsa.

“Kita harus fikirkan cara untuk lebih ke depan, iaitu dengan menghasilkan kandungan bukan semata-mata untuk penggunaan penonton tempatan semata-mata.

“Kalau membataskan kandungan sebegitu, kita tidak dapat menjangkau pasaran antarabangsa tetapi pada masa sama juga perlu berusaha mencari rakan kerjasama.

“Tetapi tanpa ada rakan strategik, kita juga tidak boleh ke mana-mana,” katanya.

Lihat Komen