malaysiakini logo
story-image
ADS

Penyanyi Datuk Zainal Abidin memang bukan sekadar penyanyi kerana di setiap persembahannya penonton tidak akan berasa jemu.

Antara lain, sebab selain menyanyi Zainal juga pintar melawak dengan menggunakan isu semasa yang disentuh secara santai dan lucu.

Pada Konsert Double Trouble Muzik dan Komedi, peminat boleh menyaksikan Zainal dari sisi lain - sebagai pelawak yang berkongsi sketsa bersama pengarah dan pelakon Afdlin Shauki buat julung kalinya.

Sebenarnya, untuk menjayakan persembahan itu, Zainal memaklumkan sudah pun mempunyai beberapa isu yang sedang bermain di fikiran.

“Pada konsert itu, saya ingin bawa isu mengenai Anugerah Meletop Syok Sendiri.

"Selain itu, saya juga nak sentuh sikap seseorang yang tidak pandai bercakap Inggeris tetapi berlagak pandai,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Bagaimanapun, penyanyi Ikhlas Tapi Jauh itu tidak menjelaskan lebih lanjut alasan mengapa memilih isu berkenaan.

Double Trouble Muzik dan Komedi dijadual berlangsung pada 29 dan 30 April ini di Comedy Planet, pusat beli-belah Great Eastern Mall, Kuala Lumpur.

Berkongsi mengenai melawak di samping Afdlin, Zainal berkata, tawaran itu diterima atas dasar hubungan mereka yang dianggap sudah seperti saudara kandung.

Katanya, apabila diajak untuk berkongsi pentas, tanpa membuang masa pelawaan itu terus dipersetujui.

“Sifat abang dan adik ini kuat kerana saya melihat Afdlin membesar sejak zaman dia bersekolah lagi. Apabila melihat dia berjaya dan mempunyai perniagaan sendiri, saya ingin membantu.

“Saya tidak peduli tentang harga, ini bukan pasal wang ringgit tetapi kerana sayang dengan bakat yang dia ada.

“Afdlin juga seorang yang jujur dan rajin berusaha,” katanya.

Lihat Komen