malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pameran Amal Insani selami naluri anak autisme
ADS

Lukisan berwarna-warni dihasilkan anak Pengurus Akademi Autisme INSANI Mohd Fakhri Affandi yang menghidap autisme mencetuskan ilham untuk memupuk kesedaran masyarakat terhadap golongan itu menerusi pameran amal.

Mohd Fakhri berkata, selain meningkatkan kepekaan orang ramai, pameran Amal Insani yang sedang belangsung di ibu negara juga bertujuan mengumpul dana bagi menaja pendidikan anak-anak autisme kurang berkemampuan.

“Pernah suatu hari, saya memuat naik lukisan anak dalam Facebook lalu ia mendapat respon positif rakan-rakan. Dari situ baru timbul idea untuk mengadakan Pameran Amal Insani ini.

"Cadangan membuat pameran itu kebetulan pula sesuai dengan program kebajikan yang kami lakukan, iaitu khusus untuk membantu golongan ibu bapa berpendapatan rendah,” katanya menambah projek itu bermula pada Disember tahun lepas.

Untuk makluman, Pameran Amal Insani diadakan bersempena Hari Kesedaran Autisme Sedunia yang disambut pada 2 April setiap tahun.

Pameran Amal Insani yang mendapat sokongan Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara itu kini sedang berlangsung di ruang Creative Space, Balai Seni Negara hingga 25 April depan.

Ia menyaksikan sebanyak 47 karya dari 35 pelukis dipamerkan dengan mengangkat tema yang sama iaitu autisme.

Antara nama pengkarya yang terlibat ialah Anassuwandi Ahmad, Abdullahjones, Azam Aris, Azman Hilmi, Abdullah Hamdan, Suddin Lappo, Zarina Abdullah (gambar) dan Jamil Zakaria.

Pameran ini juga adalah kerjasama di antara Inisiatif Sokongan Autisme Nouri dan Pertubuhan Komuniti Artport Malaysia (Komuniti Artport).

Selain itu, buku mengandungi penulisan dan lukisan yang diterbitkan sempena pameran Amal Insani 2017 itu juga turut dijual. Antara penulis yang menyumbang ialah Datuk A Samad Said, Raja Ahmad Aminullah dan Anis@Amida Adulhamid.

Cabaran didik anak istimewa

Menurut Mohd Fakhri, disebabkan cabaran mendidik anak istimewa itu tidak sama seperti kanak-kanak lain, dia memahami keperluan untuk memberi bantuan dan sokongan kepada ibu bapa yang senasib dengannya.

Dia sendiri pernah mengalami detik-detik cemas apabila anak kesayangannya itu hilang beberapa kali sebelum ini.

“Penyakit dihidapi anak saya berada dalam kategori sederhana. Kerana sifatnya itu, saya perlu sentiasa berwaspada kerana dia kerap hilang dari rumah dan merayau seorang diri.

“Nouri pernah hilang pada pagi raya sewaktu di kampung dan ditemui sedang meniti garisan putih di tengah-tengah jalan raya. Pernah juga dia hampir terjun melalui tingkap dari tingkat sembilan bangunan,” katanya kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, Mohd Fakhri berkata dia tidak meletakkan harapan setinggi gunung terhadap penganjuran pameran amal itu, sebaliknya berharap masyarakat dapat memahami dan memberi sokongan kepada ibu bapa yang mempunyai anak-anak autisme.

“Saya faham tidak semua orang dapat dan boleh menghayati karya seni. Tetapi cukuplah kalau mereka boleh hargai dalam bentuk sokongan.

“Bantuan itu tidak semestinya hadir dalam bentuk wang, tetapi dengan memahami saja sudah dikira kesedaran yang cukup baik,” katanya.

Hak pendidikan sama rata

Sementara itu, menurut pelukis Abdullahjones, lukisannya yang berjudul Kita Serupa - diperbuat dari bahan arang dan akrilik atas kanvas - cuba mengetengahkan maksud setiap pelajar autistik perlu mendapat hak sama rata.

Katanya dengan nada sayu mengenai lukisannya itu, pelajar autistik tidak mendapat hak sama rata berbanding pelajar normal di sekolah yang mendapat bantuan kerajaan.

“Mereka nak belajar tetapi mahal sedangkan kita maklum pembiayaan pendidikan anak istimewa ini tidak sama dengan kanak-kanak lain, kos mereka lebih tinggi jadi mengapa kerajaan tidak memandang berat perkara ini?” soalnya.

Abdullahjones berkata, dia akan menyerahkan 100 peratus hasil jualan Kita Serupa yang bakal diperolehi kepada Nouri.

Seorang lagi pelukis, Zarina Abdullah, pula berkata ini adalah kali pertama dia menyertai pameran amal dan perkara itu membangkitkan keterujaan kerana sekurang-kurangnya dapat menghulurkan bantuan.

Karya Zarina berjudul A Tribute to Human Error 2 diperbuat daripada bahan akrilik atas kanvas.

“Saya cuba letakkan diri saya di tempat ibu bapa yang ada anak autisme. Saya bukan orang kaya, tetapi dapat membantu walau tidak banyak mana sudah cukup memberi kepuasan.

“Kita jangan pandang rendah anak autisme, beri semangat kepada ibu bapa yang mempunyai anak dari golongan itu,” katanya yang juga menjadi tenaga pengajar di sebuah sekolah di Slim River, Perak.

Lihat Komen