malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Tepis tangan peminat bukan maksud Dian sombong
Diterbitkan:  Apr 20, 2017 7:23 PM
Dikemaskini: 11:35 AM
ADS

Pelakon jelita Dian Sastrowordoyo akhirnya tampil membuka mulut mengenai insiden menepis tangan peminat yang menjadi tular di media sosial sejak semalam.

Walaupun amat dikesali, katanya hal itu berlaku tanpa disengajakan apabila dirinya dihampiri dari arah belakang, sebelum tubuhnya disapa peminat itu.

Menurut pelakon Ada Apa Dengan Cinta itu, tindakan berkenaan bukan bermaksud dirinya pelakon yang tidak mesra peminat.

“Sejujurnya hal itu datang tanpa disengajakan. Ada seseorang datang dari belakang dan tiba-tiba dia memegang badan saya. Disebabkan perkara itu, saya kaget kerana tindak balas refleks.

“Saya bukan bermaksud tidak ramah atau tidak sopan. Memang video itu kemudiannya dipadam agar tidak menimbulkan kesan yang tak sesuai dengan kejadian sebenar yang terjadi,” katanya.

Dalam video yang beredar pantas di alam maya, Dian dilihat menepis tangan seorang wanita berhijab berbaju biru yang berusaha merapatinya ketika dia sedang berjalan.

Dalam pada itu, pelakon Kartini itu juga menujukkan reaksi seperti geli apabila disentuh dan kesan dari sikapnya itu dia dianggap bersikap dingin dan tidak ramah kepada peminat.

Lihat situasi

Dian menjelaskan dia seboleh-bolehnya mahu menjadi figura umum, namun ada waktu dia harus menjalani kehidupan peribadi bersama keluarganya.

“Saya juga perlu melihat situasi, kalau memang saya sedang santai dan ada waktu, saya akan melayani permintaan bergambar.

“Cuma terkadang, apabila ada penggemar begitu bersemangat, saya lupa membezakan sedang bekerja atau mengasuh anak-anak atau mereka meminta bergambar ketika bersama keluarga, saya terpaksa menolak dengan sopan," jelasnya.

Menegaskan peminat adalah elemen penting dalam kariernya, Dian bagaimanapun berkata dia tidak dapat menghalang kritikan terhadapnya.

“Saya memahami semua respon dan di dunia sosial ini ada kalanya kita tidak boleh mengawal apa difikirkan seseorang. Terima kasih buat semua. Saya menerima kritik dan sokongan dengan berlapang dada,” katanya.

Sementara itu, ekoran insiden terbabit, pengarah filem Kartini, Hanung Bramantyo turut meminta maaf secara terbuka kerana yakin Dian tidak berniat untuk menyakiti hati sesiapa terutama peminat.

"Kami berusaha untuk selalu baik dengan sesiapa pun, tapi kami juga manusia dan tidak sedar kelalaian kami mengakibatkan sikap tidak enak.

“Saya percaya apa dilakukan Dian mahupun artis lain bukan disengajakan. Maafkan ya,” tulisnya di akaun Instagram miliknya.

Lihat Komen