malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Hattan serah pada pihak berkuasa
Diterbitkan:  Mar 27, 2017 1:06 PM
Dikemaskini: 5:13 AM
ADS

Penyanyi Datuk Hattan mengesahkan sudah membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat dakwaan dia menipu sepasang suami isteri melibatkan wang hampir RM1 juta.

Hattan, atau nama sebenarnya Mohd Shukri Shahabudin berkata dia juga telah menyerahkan perkara itu kepada pihak peguam untuk tindakan lanjut.

“Saya sudah agak soalan ini pasti keluar.

"Kalau nak tahu saya sudah membuat laporan polis minggu lalu dan menyerahkan perkara ini kepada peguam,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Bagaimanapun, Hattan enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

“Selebihnya, saya tidak mahu komen,” katanya ketika ditemui di Shah Alam.

Pada 9 Mac lalu, seorang wanita bernama Noor Maszura Abu Bakar memuat naik sebuah klip video di laman Facebook dengan mendakwa Hattan memperdayakan dirinya dan suami yang juga bekas penyanyi kumpulan Baji.

Perkara itu berlarutan sejak 14 tahun lalu selepas Noor Maszura mendakwa namanya dan suami, Abang Yusof Abang Daud, 44, digunakan sebagai pengarah sebuah syarikat.

Berikutan itu Noor Maszura dan suami mendakwa terpaksa berdepan pelbagai masalah termasuk diisytihar muflis serta sukar membuka akaun bank untuk tiga anak mereka.

Pasangan berkenaan juga merayu Hattan untuk tampil dan menyelesaikan masalah terbabit secara baik.

Lihat Komen