Shakilla kesal fitnah tak berdisiplin, panjang tangan


(Dikemaskini )

Pelakon Shakilla Khoriri terkilan apabila terdapat segelintir pihak melemparkan fitnah mengatakan dirinya tidak berdispilin dan seorang yang 'panjang tangan'.

Disebabkan tohmahan itu, nama Shakilla menjadi buruk dan kariernya terjejas, malah dia juga mendakwa digam sebuah stesen televisyen tempatan.

"Perkara ini berlanjutan sehingga dua tahun dan saya sendiri tak faham kenapa ada pihak yang mendakwa bukan-bukan terhadap diri saya.

"Ada yang kata saya sering lambat dan tak tepati waktu, malah tuduh saya mencuri di lokasi penggambaran.

"Disebabkan itu sebuah stesen televisyen tidak pernah mengambil saya kerana anggap saya mempunyai masalah disiplin," katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri Karisma di Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Drama arahan Rodzee A. Razak itu bakal bersiaran di stesen televisyen RTM bermula Ramadhan nanti.

Bagaimanapun Shakilla, 27 menafikan segala tohmahan terbabit malah menegaskan dia tidak gemar bermusuhan dengan mana-mana pihak.

“Saya tidak pernah buat jahat pada orang, sebaliknya cuba bantu yang lain agar masing-masing dapat memberikan persembahan yang bagus.

"Pada saya, apabila berbuat baik, kebaikan akan datang pada kita tapi perkara sebaliknya pula berlaku," katanya.

Berikutan itu, menurut Shakilla, dia jarang bergaul dengan rakan-rakan artis sebaya sehingga ada yang menganggapnya sombong.

“Saya bukan sombong tetapi takut dengan perkara yang telah terjadi dan lebih selesa berkawan dengan artis lama kerana mereka jenis tidak memendam perasaan,” katanya.

Shakilla memberitahu dia tidak mahu tahu siapa yang berbuat demikian tetapi sedia memaafkan pihak terbabit dan berharap mereka akan berubah sikap.

Namun Shakilla kesal kerana tohmahan itu menutup mata pencariannya, apatah lagi dia bakal melangsungkan perkahwinan dengan penyampai radio, Fizi Ali pada tahun ini.

"Tidak baik buat (fitnah) begini kerana saya mencari duit untuk membantu keluarga dan bakal melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi,” katanya.


Artikel berkaitan

Share