Tiada Beauty and the Beast tanpa tapisan

(Dikemaskini )

Kerajaan tetap tidak akan membenarkan tayangan filem Beauty and the Beast jika Walt Disney enggan menapis adegan gay seperti yang dicadangkan Lembaga Penapisan Filem (LPF), kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Tegasnya Malaysia mempunyai undang-undang dan budaya tersendiri yang perlu dihormati Walt Disney.

"Apa-apa filem berkenaan LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) ini tidak akan dibenarkan kerana setiap unsur dalam wayang itu (dikhuatiri) akan mempengaruhi kita dan belum tentu memberi manfaat kepada pembangunan negara," katanya kepada pemberit hari ini.

Beliau mengulas isu filem Beauty and the Beast yang ditangguhkan tayangannya di negara ini susulan unsur LGBT dalam filem terbitan Walt Disney itu.

Nur Jazlan sebelum itu hadir hadir Majlis Sambutan Hari Penjara Kebangsaan dan Hari Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Penjara Simpang Renggam, Kluang hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Jazlan juga mempertikaikan keengganan Walt Disney bekerjasama dengan LPF untuk memotong babak gay dalam filem tersebut dan menyifatkan tindakan tersebut seolah-olah menunjukkan "Walt Disney menjadi pejuang LGBT".

"Mereka boleh berbuat demikian (tidak mahu memotong adegan) kerana pasaran Malaysia ini kecil... kalau tidak ditayangkan dalam panggung pun mereka tidak rugi banyak.

"Cuba kalau di China, Rusia atau Amerika Syarikat, sudah tentu mereka tunduk akan kehendak budaya negara tersebut tetapi kerana Malaysia ini kecil, mereka seolah-olah mahu jadi hero," katanya.

Filem itu yang sepatutnya ditayangkan di seluruh negara mulai semalam, terpaksa ditangguhkan berikutan terdapat kontroversi mengenai orientasi seks watak LeFou yang terdedah pada babak tarian di akhir filem berkenaan.

Walt Disney dilaporkan telah menghantar satu rayuan kepada LPF semalam untuk menilai semula keputusan memotong babak berkenaan.

-Bernama


 

Share