malaysiakini logo
story-image
ADS

Lanjutan dari novel Ayat-Ayat Cinta yang berkisar mengenai Fahri, Aisha dan Maria di Mesir, Ayat-Ayat Cinta 2 (AAC2) bermula dengan kesedihan.

Fahri digambarkan menjadi tenaga pengajar di Universiti Edinburgh dan kehilangan Aisha yang ghaib selepas mengikuti misi kemanusiaan di Palestin.

Setelah segala usaha untuk menjejaki isteri kesayangannya itu gagal, lalu jadilah Fahri seorang suami yang digambarkan paling merindukan dan paling setia menanti isterinya.

Tidak dinafikan, kerja paling sukar dalam penulisan novel ialah untuk membina plot, dari satu babak ke satu babak juga dari konflik demi konflik.

Jika watak itu hanya dua tiga orang, ia mungkin tidaklah terlalu mencabar, tetapi dalam AAC2, kita menemukan ramai watak.

Ada Paman Hulusi, Jason, Kiera, Sabina, Nenek Catarina, Baruch, Hulya, Brenda dan Aisha. Setiap satu watak mempunyai konflik tersendiri.

Daripada konflik itulah watak-watak AAC2 menggerakkan cerita.

Novel ini bagi saya bukanlah sekadar novel Indonesia tetapi novel antarabangsa yang ditulis dalam bahasa Indonesia. Kecuali Fahri dan Misbah, kebanyakan watak dalam cerita itu adalah dari Scotland, Turki, Britain dan Jerman.

Latar ceritanya saja bukan di Indonesia tetapi di Edinburgh. Agak mengagumkan kerana Habiburahman El Shirazy begitu fasih dan teliti menjelaskan setiap latar tempat yang ditempuh sesuatu watak. Dari satu jalan ke satu jalan dari satu lorong ke satu lorong.

AAC2 adalah novel yang mempunyai mesej dakwah yang amat jelas. Penjelasan mengenai sesuatu isu dibuat dengan teliti. Namun penulis mungkin mengambil terlalu banyak masa untuk menghuraikan sesuatu permasalahan sehingga ia nampak sedikit meleret-leret atau lewah.

Tanpa menafikan kehebatan sisi kepengarangan Kang Abik - nama lain untuk Habiburahman El Shirazy - ada satu perkara yang mahu diutarakan melalui watak Sabina.

Sabina adalah wanita yang ditemukan Fahri di luar masjid dan di tepi jalan kota Edinburgh sebagai pengemis yang bermuka buruk dengan suara serak.

Sabina tidak diketahui asal-usulnya atau mengapa wajahnya seburuk itu. Sebagai pengemis Sabina sering meminta-minta sehingga terakam wajahnya di dalam akhbar utama Scotland sebagai gambaran orang Islam yang "tidak bermaruah".

Hal ini dianggap oleh Fahri sebagai menjejaskan reputasi agama. Untuk membersihkan nama agama dalam kalangan masyarakat Ediburgh selain mahu membela nasib Sabina, Fahri membawa dia ke rumahnya.

Sabina ditempatkan di ruang bawah tanah dan tinggal bersamanya di dalam rumah yang turut didiami oleh Paman Hulusi dan Misbah.

Selama bertahun-tahun Sabina hidup di rumah itu membawa segala tingkah laku Aisha. Meskipun Fahri kadang-kadang menyedari persamaan yang dimiliki oleh Sabina dan Aisha - iaitu dari segi tingginya, rampingnya, teh yang dibancuh, makanan yang dimasaknya, bacaan al-Qurannya - namun langsung tidak terlintas mengesyaki identiti Sabina.

Sabina ni pula, bertahun-tahun duduk serumah, tidak pernah terfikir untuk memperkenalkan dirinya.

Sepanjang hidupnya di rumah Fahri Sabina selalu mencuri-curi saja gerak laku Fahri sehinggalah dia sendiri menyaksikan Fahri terbuka hati untuk berkahwin dengan Hulya (sepupu Aisha) dan menyaksikan di depan matanya bagaimana mereka bersenda gurau, hidup bahagia dan mendapat cahaya mata.

Siapa sebenarnya Sabina? Mengapa Sabina mempunyai banyak persamaan tingkah laku dengan Aisha dan mengapa dia sering terhendap-hendap dan mencuri-curi pandang perlakuan Fahri?

Jawapan kepada pertanyaan di atas bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan cuma mungkin menimbulkan lebih banyak persoalan.

Mengapa Fahri tidak dapat mengagak yang Sabina adalah sebenarnya Aisha yang hilang di Palestin?

Mengapa Aisha tidak mahu memperkenalkan identiti kepada suami yang amat mencintainya?

Adakah wajah Aisha terlalu buruk (akibat peristiwa di penjara Israel) sehingga dia menganggap dirinya tidak layak untuk seganding dengan Fahri?

Bukankah Fahri seorang yang sangat baik akhlaknya malah terlalu sempurna untuk menolak isteri sendiri hanya kerana wajahnya yang buruk?

Mengapa Aisha tidak terus menghubungi Fahri sebaik terlepas dari penjara Israel?

Mengapa Aisha perlu berjalan beribu-ribu kilometer dari Istanbul ke Greece, Itali, Munich dan akhirnya ke Edinburgh untuk mencari suaminya?

Apakah keluarga Aisha tidak akan menerima kehadirannya selepas peristiwa kejam yang dialaminya di Israel?

Bukankah Aisha berasal dari hartawan dan bangsawan dari Turki? Tidakkah Aisha menjangkakan segenap sokongan moral yang pasti diterima daripada ahli keluarganya?

Bukankah keluarga Aisha mampu membiayai pembedahan plastik yang boleh saja membetulkan semula wajahnya?

Mengapa Aisha perlu mencederakan wajahnya sendiri?

Betapapun persoalan di atas bermain-main dalam fikiran pembaca, natijahnya hanya empat bulan selepas novel ini dilancarkan pada November 2015, ia diulang cetak untuk kali ke-12!

Tajuk: Ayat-Ayat Cinta 2
Pengarang: Habiburahman El Shirazy
Penerbit: Republika Penerbit (PT Pustaka Abdi Bangsa), Jakarta.
Tebal: 697 halaman


NOR RAIHAN ABU BAKAR Bekas wartawan yang kini berkhidmat sebagai pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Melaka.
 

Lihat Komen