malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Bercuti di Taiping buka mata Sheila pada alam sekitar
ADS

Tidak perlu bercuti ke luar negara untuk berehat dan menenangkan fikiran dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Bagi penyanyi Datuk Sheila Majid cukuplah sekadar berjimat-cermat dan menyahut slogan Cuti-Cuti Malaysia jika ingin menikmati keindahan alam.

Ratu Jazz Negara itu berkata, dia tidak menduga keputusan untuk berlibur di Taiping, Perak pada Disember lalu membuka matanya untuk lebih mendalami amalan memelihara dan memulihara alam sekitar.

“Saya memilih untuk bercuti ke Taiping kerana pada ketika itu tahap kewangan negara kita boleh disifatkan berada dalam situasi teruk.

“Banyak perkara boleh dilakukan sekiranya kita bercuti dalam negara saja. Ini tidak, sikit-sikit nak ke London, Singapura lah, tapi saya sedar pernah bertindak sedemikian dahulu.

“Perjalanan ke tempat itu menimbulkan kesedaran dan atas sebab sama saya ingin sama-sama berkongsi kewujudan tempat menarik di Malaysia yang saya tidak pernah tahu sebelum ini,” katanya.

Sheila ditemui pada sidang media pengumuman Sheila Majid Live @ Belum Rainforest yang diadakan di Petaling Jaya, semalam.

Persembahan dengan tema bersama sepetang secara eksklusif dengan Sheila yang bakal diadakan itu bertujuan menyokong kempen meningkatkan kesedaran umum terhadap pemuliharan alam sekitar.

Sebahagian dana yang berjaya dikumpul akan diserahkan kepada Yayasan Pulau Banding.

Ia dijadual berlangsung pada 29 April depan di resort Belum Rainforest, Pulau Banding, Perak - hutan berusia 130 juta tahun lebih tua dari Amazon.

Galas tanggungjawab

Atas kesedaran sama, penyanyi Sinaran itu juga berbesar hati sekiranya diberi peluang untuk menggalas tanggungjawab sebagai duta atau jurucakap kempen alam sekitar pada satu-satu waktu yang lain selepas ini.

Walaupun peranan itu dilihat agak besar, Sheila tidak nampak sebarang alasan untuk menidakkannya daripada memikul amanah berkenaan, jika diberikan kepadanya.

“Kalau ada yang sudi untuk menawarkan tugas itu saya berbesar hati untuk menerimanya.

"Bagaimanapun, saya harus bersedia terlebih dahulu untuk mendalami ilmu alam sekitar agar mesej disampaikan boleh mempengaruhi pendengar,” katanya.

Mengenai persembahan di Belum, Sheila mensasarkan jumlah seramai 100 peminat pada persembahan berdurasi 45 minit itu. Peminat akan dihiburkan dengan lagu-lagu hits termasuk Sinaran dan petikan album terbaru yang dijangka dilancarkan dua minggu lebih awal.

“Banyak aktiviti menarik akan diadakan dan saya akan tiba beberapa hari sebelum tarikh persembahan untuk melawat lokasi di sekitar resort, peminat juga boleh menyertai sekiranya mereka berminat.

“Persembahan akan diiringi kumpulan pemuzik yang diterajui oleh suami, Acis,” katanya.

Lihat Komen