malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Prime Domestic enggan dibayangi Wings, Search
ADS

Selama ini nama Joe sudah dianggap sebati dengan kumpulan Wings.

Petikan gitarnya seumpama nafas bagi kumpulan rock legenda itu. Bagi peminat rock tempatan, tidak ada Joe tanpa Wings, dan begitulah sebaliknya.

Tetapi sejarah Joe bersama Wing sudah ditinggalkan. Gitaris terkenal itu bagaikan sudah berpatah arang dan kini memutuskan untuk mencari haluan sendiri.

Bersama-sama Hillary Ng - salah seorang pengasas sebuah lagi kumpulan rock legenda tanah air - Search, Joe menubuhkan kumpulan baru yang dinamakan Prime Domestic.

Sudah tentu, kedua-dua ikon itu memiliki kekuatan, skil dan pengaruh mereka sendiri. Dan kemunculan bersama itu juga pastinya ditunggu-tunggu peminat rock tempatan.

Walaupun diasaskan dua figura yang tidak asing lagi dalam dunia rock, Joe menjanjikan kelainan muzik yang bakal dipersembahkan Prime Domestic.

Malah, dia juga tidak mahu Prime Domestic dibayangi kumpulan asal mereka, sama ada Wings mahupun Search.

“Tidak akan ada bunyi mirip Wings mahupun Search dalam Prime Domestic. Kami nak berikan sesuatu yang lebih agresif kepada peminat selain berazam untuk berfikir di luar kotak demi memeriahkan muzik tempatan,” katanya kepada Malaysiakini.

Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir, 47, ditemui pada sidang pengumuman showcase band itu yang dijadual berlangsung pada 2 April depan di bangunan G Tower, Kuala Lumpur.

Aweera tak percaya

Bagi Aweera pula, dia seakan tidak percaya apabila namanya diumumkan terpilih untuk menjadi vokalis kumpulan berkenaan.

Kata pemilik nama penuh Nasharul Aweera Norhissham, 25, itu peluang untuk bersama-sama menjayakan Prime Domestic diibaratkan seperti bertemu ‘jodoh.’

“Ada empat penyanyi disenaraikan pada mulanya, namun akhirnya rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Menurut Aweera, dia pada mulanya tidak menyangka akan terpilih memandangkan kumpulan itu disertai dua gitaris terkemuka.

“Saya tidak percaya kerana siapalah saya untuk dibandingkan dengan dua pemain gitar yang dianggap legenda itu, ia bagai langit dan bumi.

“Ini kerana saya membesar dengan muzik dimainkan mereka, justeru wajar menerima peluang yang tidak boleh dilepaskan seumur hidup," katanya.

Lihat Komen