malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Seni & Hiburan
Pangrok Sulap: Kebebasan bersuara kami disekat
ADS

Isu karya badan kolektif seni berpangkalan di Sabah, Pangrok Sulap diturunkan dari dinding pameran di Kuala Lumpur disifatkan sebagai contoh sekatan bersuara terhadap golongan seniman.

Bagi seorang anggota kumpulan terbabit Jerome Manjat, tindakan itu memang layak dianggap demikian setelah “karya yang tidak bersalah” itu hilang untuk dipamerkan kepada umum.

"Ya, kami anggap itu sekatan kebebasan bersuara," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Malaysiakini hari ini.

Kelmarin, menerusi status di Facebook, Pangrok Sulap meluahkan kekecewaan mereka apabila “Sabah Tanah Air-ku” dikeluarkan daripada pameran kerana dianggap sensitif oleh sesetengah pihak.

Ukiran kayu bertajuk “Sabah tanah air-ku” itu dispekulasi menjadi mangsa susulan mesejnya dikatakan “sensitif” kerana menyentuh isu sosial dan politik tanah air.

Sebagai tanda protes, mereka mengambil keputusan menarik semua karya daripada pameran “Escape from the Sea” anjuran Yayasan Jepun di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Kami, Pangrok Sulap menarik diri sepenuhnya dari pameran kerana membantah penapisan karya seni dan artis,” menurut kenyataan mereka.

“Sabah Tanah Air-ku” sempat menghiasi dinding pameran selama dua hari sebelum diturunkan pada 26 Februari lalu.


Ruang bahan seni itu dijadikan tempat tayangan video yang memaparkan proses percetakan karya berkenaan di tempat itu.

Sementara itu, Jerome berkata, meskipun ralat dengan keputusan penganjur, hal itu sedikit pun tidak melemahkan semangat setiap pengkarya yang menyertai Pangrok Sulap.

“Kami tidak akan berhenti di sini sebab karya ini masih ada sambungannya," katanya.

"Seperti yang diketahui, karya Pangrok Sulap lebih menekankan maksud yang terus kepada penonton.

"Dalam pameran 'Escape From The Sea', Pangrok Sulap meluahkan keadaan di Sabah pada masa sekarang,” katanya.

Pameran dari 24 Februari hingga 23 April depan itu adalah sebahagian daripada program pembangunan kurator Yayasan Jepun.

Selain dipamerkan di Bangsar, sekeping karya Pangrok Sulap turut digantung di Balai Seni Visual Negara (BSVN) tanpa halangan.

Karya itu mengetengahkan mesej keharmonian pelbagai kaum, kejayaan dan kebanggaan ikon Sabah.

"Karya di BSVN adalah sesuatu yang rakyat umum tahu tentang keadaan di Sabah,” katanya.

Mengulas karyanya dikeluarkan daripada pameran itu, Jerome berkata, ia memaparkan situasi sebenar yang menghimpit kehidupan penduduk Sabah.

"Apa tidak diketahui umum sebenarnya selama Malaysia merdeka, rakyat Sabah telah terhimpit dengan pelbagai masalah, contohnya masalah rasuah, masalah pencerobohan pendatang asing, kes pembalakan haram, batu sumpah yang diubah suai tanpa pemberitahuan dan persetujuan orang ramai terutama rakyat Sabah dan sebagainya," katanya.

Pangrok Sulap juga berkata karya-karya mereka dalam pameran itu mempunyai kaitan antara satu sama lain dan jika salah satu diturunkan, mesejnya dikhuatiri tidak sampai.

Malaysiakini telah cuba menghubungi penganjur, termasuk mengunjungi tempat pameran sejak minggu lalu namun belum membuahkan hasil.

Lihat Komen